Pusat kriket bawah 12 diwujudkan semula di Melaka

MELAKA - Sebuah pusat kriket bagi kumpulan peringkat usia bawah 12 tahun akan diwujudkan semula di Melaka selepas dua tahun direhatkan.

Persatuan Kriket Melayu Malaysia akan memilih sebuah pusat baru yang dinamakan Tranquerah dengan penampilan beberapa sekolah sekitar kawasan berkenaan di bawah pengawasan Sekolah Kebangsaan Tengkera 1 di bandar Melaka.


''Sejak tahun 1999 di bawah Program Pembangunan Kriket Remaja, beberapa pusat telah diwujudkan di Melaka. Antaranya Bachang, Banda Hilir, Bertam Malim, Lereh dan Kampung Gelam.

''Apa pun pusat di terakhir di Kampung Gelam direhatkan kerana wujud masalah yang sukar dipantau oleh persatuan,'' kata Timbalan Yang Dipertua Kriket Melayu, Tan Sri Wan Abdul Rahman Yaacob.

Sebagai permulaan dengan sokongan Jabatan Pendidikan Melaka menerusi Ketua Unit Sukan, Abdul Latif A. Karim, himpunan kriket bawah 12 digerakkan mulai 8 hingga 13 November di padang SK Tengkera 1.

Sesi himpunan juga diumumkan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran, Dr. Mehander Singh Nahar Singh.

Dua jurulatih Kriket Melayu dari Sri Lanka, Susil Ananda dan Dilip Prasanna dihantar mengendalikan himpunan berkenaan.

Turut sama membantu ialah Guru Besar SK Tengkera 1, Koh Kian Choon dan barisan gurunya diketuai oleh guru sukan, Zainal Daud.

Buat masa ini Kriket Melayu memiliki 19 pusat di bawah Program Pembangunan Kriket Remaja iaitu bagi kumpulan bawah 12 di seluruh negara.