Kementerian bimbang prestasi kriket merosot di Kuala Lipis

KUALA LUMPUR - Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan akan mengadakan suatu mesyuarat penyelarasan dengan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Lipis tidak lama lagi bagi membincangkan dengan serius pembangunan kriket di daerah berkenaan di samping mencari calon penyelaras di Projek Kriket Nasional di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford.

Ketua Sektor Pendidikan Sukan, Kementerian Pendidikan, Dr. Zuber Hassan berkata, mesyuarat berkenaan akan dilangsungkan dengan kadar segera  berikutan laporan daripada Persatuan Kriket Melayu Malaysia bahawa prestasi keseluruhan Projek Kriket Nasional dan Program Pembangunan Kriket Remaja bagi kumpulan bawah 12 di daerah itu sudah menurun.

Kriket Melayu dalam surat kepada Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof, 20 Oktober lepas menyatakan kebimbangan terhadap pembangunan sukan itu di Kuala Lipis walaupun persatuan berkenaan menyediakan jurulatih sepenuh masa dari Sri Lanka, Vipula Sittamige.

Persatuan itu menggariskan tiga komponen mengenai penurunan prestasi di Kuala Lipis; juga penarikan diri secara mengejut penyelaras di SMK Clifford, Ahmad Ridzuan Mohd. Ludin Julai lepas.

''Kepincangan ini serta pengganti Mohd. Ridzuan merupakan perkara utama yang akan dibincangkan. 

''Pihak Pejabat Pendidikan Daerah perlu sama bertanggungjawab dalam hal pembangunan,'' katanya.

Kuala Lipis merupakan juara Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan tahun lalu tetapi bagi musim ini, pasukan itu tumbang di pusingan awal.

Pasukan perempuan SMK Clifford pula adalah juara Cabaran Perisai Tuanku Najihah tahun lepas tetapi kalah mengejut kepada skuad Pattani dari Thailand dalam babak akhir tahun ini.

Bagi pasukan bawah 14 Melayu Malaysia ke siri latihan pendedahan antarabangsa di Sri Lanka, tiada seorang pun pemain daripada pasukan projek di SMK Clifford.

''Banyak pihak akan diminta membantu bagi mengatasi masalah ini,'' kata Dr. Zuber.
 
 
DR. ZUBER
 
 
RIDZUAN