Pembangunan menyeluruh kriket di Gua Musang

KUALA LUMPUR - Gua Musang akan memberi penumpuan menyeluruh kepada pembangunan kriket sejak pengenalan sukan itu bermula di perkampungan Orang Asli pada tahun 2011.
 
Pegawai Pendidikan Daerah Gua Musang, Zahari Othman mengumumkan suatu pelan pembangunan kriket sudah pun dirancang bersama Persatuan Kriket Melayu Malaysia dan meletakkan sasaran tiga tahun bagi menyerlahkan pencapaian di pusat Projek Kriket Nasional-Pembangunan Menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra.

Mesyuarat penyelarasan pembangunan kriket telah berlangsung minggu lepas dengan persetujuan memperuntukkan sejumlah RM60,000 untuk menambah lagi kemudahan asas di padang sekolah berkenaan.
 
''Kami juga akan menganjurkan sesi pengenalan permainan kriket khusus bagi guru-guru sekolah rendah pada 8 November ini di SMK Tengku Indra Petra.

''Sesi pengenalan ini adalah sebagai persediaan untuk membangunkan kriket secara serius di peringkat sekolah rendah di Gua Musang bermula Januari tahun depan,'' katanya.

Kriket diperkenalkan pada tahun 2011 oleh Persatuan Kriket Melayu Malaysia di perkampungan Orang Asli di Kuala Betis; sebuah kawasan pedalaman Gua Musang. Hasilnya, tiga pemain perempuan kini sudah mewakili pasukan negara dan berada di pusat Projek Kriket Nasional kendalian Kriket Melayu di SMK Clifford, Kuala Lipis.

Apa pun Kriket Melayu telah memulakan Projek Kriket Nasional yang mengamalkan sekolah terbuka di Gua Musang Januari tahun ini dan berpandukan statistik, lebih 100 pemain; lelaki dan perempuan bergiat aktif di sekolah itu.

''Kami juga bangga kerana pemain berlatih di bawah jurulatih bertauliah dari Sri Lanka, Chamil Perera yang ditempat di Gua Musang di bawah penggajian Kriket Melayu,'' kata Pengetua SMK Tengku Indra Petra, Rashid Mustafa.

Dua pemain perempuan sekolah itu, Nabila Nazeli dan Nik Nur Atiela Din juga telah bermain untuk pasukan utama Malaysia tahun ini. 

Tahun depan, Kriket Melayu mempelawa SMK Tengku Indra Petra bertanding dalam Cabaran Kriket Piala Ketua Pengarah Pelajaran manakala bagi pemain perempuan, berentap dalam pertandingan merebut Perisai Tuanku Najihah.