Tiga pemain Kriket Melayu dipilih beraksi di Afrika Selatan

KUALA LUMUR - Tiga pemain Persatuan Kriket Melayu Malaysia akan mengharungi sesi penempatan selama enam bulan apabila dipilih beraksi dalam Liga A Western Province di Afrika Selatan.

Tiga pemain itu ialah Noor Afif A. Saufee dan Anwar A. Rahman dari pusat prestasi tinggi Kriket Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Azwar Tajri dari pusat di Asia Pacific University.

''Mereka akan bermain dalam liga di Cape Town dan sekitar Western Province selama satu musim sehingga April tahun depan,'' kata Timbalan Setiausaha Kewangan Kriket Melayu, Nik Anuay Abdullah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 21 Oktober 2015.

Ketiga-tiga pemain yang berusia 19 tahun ini berada dalam program Kriket Melayu sejak berusia bawah 12, pembangunan menengah sehinggalah sekarang dalam pusat prestasi tinggi persatuan itu.

Penempatan itu yang terkandung dalam Program Pembangunan Kriket Nasional dikendalikan Kriket Melayu dengan tajaan sepenuhnya oleh Yayasan Sime Darby. Penempatan di luar negara bermula sejak tahun 2011.

Antara penempatan yang dihantar Kriket Melayu ialah bermain dalam Liga Persatuan Kriket Australia Barat (WACA) di Perth; beraksi dalam Liga Essex di London, Liga Sri Lanka dan di Afrika Selatan. Tahun lepas, sembilan pemain dihantar bermain dalam liga berkenaan.