UKM cemas sebelum rangkul kejuaraan kriket antara varsiti

KUALA LUMPUR - Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus menguasai saingan Kriket Undangan Antara Varsiti Antarabangsa apabila menang tipis dengan dua wiket ke atas pendatang baru, BMS Northumbria University dari Sri Lanka dalam babak akhir di Bayuemas Oval, Klang pada 17 Oktober 2015.

BMS Northumbria University yang memukul terdahulu bergaya pada kedudukan 80-1 dalam sepuluh over pertama tetapi pengumpulan larian sedikit perlahan melepasi 20 over. Pelawat hanya melakukan 173 setelah menamatkan pukulan dalam 38.3 over.


Apapun, keghairahan UKM selaku juara bertahan tersekat setelah kehilangan wiket pertama dalam over awal yang seterusnya mencemaskan keadaan apabila hujan menghentikan perlawanan buat sementara.

''Kami dalam keadaan terdesak; khuatir perlawanan tidak dapat diteruskan berikutan hujan. UKM terlalu mengharapkan keperkasaan pemukulnya untuk meneruskan perjuangan dalam misi mengejar sasaran,'' kata pengurus UKM, Fairus Shafie.

Dengan sasaran 155 larian untuk menang dalam 31 over, pemain memastikan kejuaraan masih milik tuan rumah apabila melengkapkan 155-8 dalam 30.1 over.

''Kami kurang bernasib baik. Pembaling kami gagal melakukan yang terbaik dalam sesi memadang,'' kata pengurus BMS Northumbria University, Senarath Alwis.

KEPUTUSAN:
(Babak akhir)

Universiti Kebangsaan Malaysia kalahkan BMS Northumbria University dengan 2 wiket berpandukan kaedah Duckworth-Lewis. Sasaran 155 larian dalam 31 over.
BMS Northumbria University 173 (38.3 over) Ramith Gunarathna 70, Janith Liyanage 33, Javed Bongso 19, Asiri Wickramanayake 14, Danush Peiris 13. Nik Azril Arifin 3-22, Fitri Sham 2-6, Fikri Makram Rosdi 2-6, Anwar A. Rahman 2-26.  
Universiti Kebangsaan Malaysia 155-8 (30.1 over) Fikri Makram Rosdi 49, Adam Zulkifli 43, Shafiq Sharif 28, Noor Afif Saufee 13. Janith Liyanage 2-16, Roscoe Thattil 2-22.
Pemain terbaik babak akhir: Fikri Makram Rosdi (Universiti Kebangsaan Malaysia).
Pemain terbaik kejohanan: Saud Shakeel (Sir Syed University of Engineering)
Pengadil: Zaidan Taha Hasim (KEL) & Ariffin Ramly (NS).