Chilaw Marians kuasai kejohanan bagi tahun keempat

KUALA LUMPUR - Chilaw Marians meneruskan penguasaan dalam Kriket Undangan Antara Kelab Antarabangsa dengan kejuaraan tahun keempat berturut-turut apabila menang babak akhir di Bayuemas Oval pada 4 Oktober 2015.

Dalam pertemuan menentang Melayu Malaysia, skuad dari Sri Lanka itu menang dengan empat wiket apabila tuan rumah hanya melakukan 120 dalam 42 over setelah kehilangan wiket awal.

''Apa pun kami mampu melepasi angka seratus dan lawan yang memiliki semua pemain kelas pertama di Sri Lanka itu terpaksa bekerja keras setelah kehilangan enam wiket hingga ke akhir perlawanan,'' kata pengurus Melayu Malaysia, Khailani A. Jalil.

Chilaw Marians kehilangan tiga wiket awal; 34-3 sebelum bangkit kemudian secara perlahan-lahan untuk menjuarai Piala Tun Ahmad Sarji dan hadiah wang lumayan.

Pemukul ke-10 Melayu Malaysia yang juga pembaling pembukaan, Nazril A. Rahman dipilih pemain terbaik babak akhir menerusi sumbangan cemerlang di lapangan tengah, baik sebagai pemukul (33 tanpa tewas) dan pembaling dengan analisis 4-36.

Pada 3 Oktober,  Bright Sports dari Bangladesh menduduki tempat keempat telah dibaham wakil India dari Chennai, Siechem dengan 69 larian dalam pertemuan penentuan ketiga.

Bersama Yang Dipertua Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid antara yang turut hadir pada perlawanan semalam ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh.

KEPUTUSAN BABAK AKHIR:

Chilaw Marians kalahkan Melayu Malaysia dengan 4 wiket.
Melayu Malaysia 120 (42 over) Nazril A. Rahman kekal 33, Anwar Arudin 18, Rashid Ahad 14, Shafiq Sharif 12, Syazrul Ezat Idrus 11.  Saliya Saman 3-23, Dinuk Hettiarachchi 3-28, Akalanka Ganegama 2-25.
Chilaw Marians 124-6 (26.3 over) Thikshila de Silva 30, Kasun Vidura kekal 26, Geeth Kumara 22, Shashrika Pussegolla 10, Nimesh Perera 10.  Nazril A. Rahman 4-36.
Pemain terbaik: Nazril A. Rahman (MAS).
Pengadil: Asoka de Silva (LKA) & Faizshal Niaz-Lyn (MAS).
Referi: A. Salim Hussin (MAS).