Melayu Malaysia atasi Bright Sports dengan 110 larian

KUALA LUMPUR - Melayu Malaysia menang besar 110 larian ke atas wakil Bangladesh, Bright Sports dalam saingan Kriket Undangan Antara Kelab Antarabangsa di Bayuemas Oval dekat sini pada 29 September 2015.

Turut sama menang ialah juara bertahan, Chilaw Marians dari Sri Lanka yang membelasah Siechem dari India dengan 177 pada pertemuan di RSC Oval, Bukit Kiara.

Gandingan pemukul lewat dan pertengahan membawa Melayu Malaysia melonjakkan angka sehingga 207-9 dalam peruntukan maksimum 50 over.

Selepas sajian, Bright Sports yang memukul kecundang sehingga berada pada kedudukan 39-6 dalam 10 over dan 87-8 (20 over). Mereka menamatkan pukulan setakat 97 .

''Kami menunggu pertemuan seterusnya dengan pasukan dari Chennai, India. Kami tahu Siechem memiliki barisan berwibawa walaupun mereka tersungkur kepada Chilaw Marians. Kami mahu meneruskan kemaraan,'' kata pengurus Melayu Malaysia, Khailani A. Jalil.

Sementara itu, pengurus Chilaw Marians, Godfrey Dabrera akan memastikan pasukannya dapat menumbangkan Bright Sports dengan mudah bagi memastikan pasukan itu kekal di tangga paling atas kedudukan sebelum beraksi dalam separuh akhir 2 Oktober 2015.

Kejohanan bagi merebut Piala Tun Ahmad Sarji itu turut menyediakan hadiah wang lumayan. Ia dianjurkan sejak empat tahun lepas bagi memberi peluang kepada skuad Melayu Malaysia bersaing dengan pemain daripada pasukan kelas pertama di kalangan negara kriket elit dunia.

KEPUTUSAN:

Melayu Malaysia kalahkan Bright Sports dengan 110 larian.
Melayu Malaysia 207-9 (50 over) Shafiq Sharif 47, Nazril A. Rahman kekal 40, Syazrul Ezat Idrus kekal 33, Fikri Makram Rosdi 18, Faris Almas-Lee 13, Anwar Arudin 10.  SM Raihan Sharif 2-25, Md. Nahidul Islam 2-41.
Bright Sports 97 (22.3 over) SM Raihan Sharif 24, Injamamul Hoque 22, Md. Abul Hashem 12.  Syazrul Ezat Idrus 4-10, Faruq Hakimin Azmi 2-13, Faiz Ahmad Nasir 2-15.
Pemain terbaik: Syazrul Ezat Idrus (MAS).
Pengadil: Chaminda Hathurusinghe (LKA) & Ariffin Ramly (MAS).
Referi: A. Salim Hussin (MAS).
 
Chilaw Marians kalahkan Siechem dengan 177 larian.
Chilaw Marians 260-9 (50 over) Nimesh Perera 55, Saliya Saman 52, Umesh Karunaratne 31, Shashrika Pussegolla 28, Akalanka Ganegama kekal 27, Thikshila de Silva 25.  Anbu Ezhil 3-28, Moses Jabez 3-34, AC Prathiban 2-44.
Siechem 83 (29.2 over) Vasudevan Varadachari 26, Anbu Ezhil 17, Jikendra Jadhav 10.  Umesh Karunaratne 3-18, Akalanka Ganegama 3-18, Saliya Saman 2-12. 
Pemain terbaik: Saliya Saman (LKA).
Pengadil: Asoka de Silva (LKA) & Rosman Zakaria (MAS).
Referi: Alwi Zaman (MAS).

JADUAL 30 SEPTEMBER 2015:

MELAYU MALAYSIA lwn SIECHEM
(Bayuemas Oval, 9.30 pagi)
 
BRIGHT SPORTS lwn CHILAW MARIANS
(RSC Kiara, 9.30 pagi)