Dua perlawanan tanpa keputusan kerana hujan

KUALA LUMPUR - Dua perlawanan pembukaan saingan Kriket Undangan Antara Kelab Antarabangsa pada 28 September 2015 berkesudahan tanpa keputusan berikutan hujan.

Pertemuan antara tuan rumah Melayu Malaysia dan juara bertahan, Chilaw Marians  tidak dapat dimulakan apabila hujan mula membasahi padang permainan seawal 9.30 pagi di Bayuemas Oval.

 


Pengadil antarabangsa, Asoka de Silva dari Sri Lanka dan Faizshal Niaz-Lyn dari Malaysia mengumumkan perlawanan tidak lagi dapat dilangsungkan tepat pukul 2.30 petang.

 Dalam satu lagi perhitungan di RSC Oval, Bukit Kiara, Bright Sports dari Bangladesh hanya memukul setakat 18 over dengan kedudukan 50-3 apabila hujan lebat menghentikan perlawanan sewaktu bertemu Siechem dari India.


Pertandingan tahunan kelas pertama yang dianjurkan oleh Persatuan Kriket Melayu Malaysia bagi merebut Piala Tun Ahmad Sarji itu digerakkan empat tahun lalu untuk memberi pendedahan berguna kepada pasukan Melayu Malaysia.

''Kami mengharapkan permainan ini dapat diteruskan dalam masa penuh pada hari-hari akan datang hinggalah ke babak akhir Ahad ini. Kami mahukan permainan terbaik apabila menentang pasukan kelas pertama ini,'' kata pengurus Melayu Malaysia, Khailani A. Jalil.

KEPUTUSAN:
 
* Perlawanan antara Melayu Malaysia dengan Chilaw Marians di Bayuemas Oval tidak dapat dimulakan kerana hujan.

* Perlawanan antara Bright Sports dengan Siechem tiada keputusan kerana hujan.
Bright Sports 50-3
(18 over) Md. Mouin Uddin Rubel 24, Md. Aslam Ali kekal 11.
Pengadil: Chaminda Hathurusinghe (LKA) & Shafizan Shahriman (MAS).
Referi: Alwi Zaman (MAS).

JADUAL 29 SEPTEMBER 2015

MELAYU MALAYSIA lwn BRIGHT SPORTS

(Bayuemas Oval, 9.30 pagi)
 
CHILAW MARIANS lwn SIECHEM
(RSC Kiara, 9.30 pagi)