Pattani juara dengan kemenangan 10 larian
Sunday, 09 August 2015 21:08
KUALA LUMPUR - Pattani melepas geram musim lepas apabila berjaya mengatasi Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford dengan sepuluh larian dalam pertemuan akhir Cabaran Kriket Perempuan sekali gus merangkul Perisai Tuanku Najihah dalam perlawanan di Bayuemas Oval pada 9 Ogos 2015.
Pasukan dari selatan Thailand itu menamatkan 25 over dengan mengumpulkan 102-5 dengan kaptennya, Rosenanee Kanoh melakukan 56 larian.
Walaupun bermula dengan baik dengan meletakkan angka melepasi 50 larian dalam hanya sembilan over, Clifford tersungkur hasil serbuan ganas pembaling pembukaan, Soraya Lateh yang membenam kemaraan juara bertahan dari Kuala Lipis, Pahang itu.
''Saya amat berpuas hati dengan kejuaraan ini, Kami memang berazam untuk menang setelah menduduki tangga naib juara musim lepas.
''Dengan kecemerlangan ini, kami akan melonjakkan lagi pencapaian untuk menjadikan Pattani kuasa kriket di Thailand,'' kata pengurus Pattani, Asami Borsu.
Pengurus Clifford, Nur Suhada Mustapa Kamal memuji persembahan barisan pemainnya tetapi berpendapat Pattani lebih menguasai perlawanan sewaktu memukul.
Kejohanan dianjurkan oleh Persatuan Kriket Melayu Malaysia sejak tahun lepas sebagai aksi kemuncak kepada program Projek Kriket Nasional kendalian pertubuhan itu.
KEPUTUSAN:
Pattani kalahkan SMK Clifford dengan 10 larian.
Pattani 102-5 (25 over) Rosenanee Kanoh 56, Shagufta Arwae 15. Syazwina Hanim A. Halim 2-14.
Clifford 92 (18.5 over) Sasha Azmi 14. Soraya Lateh 7-22, Shagufta Arwae 2-14.
Pemain terbaik babak akhir: Soraya Lateh (Pattani).
Pemain terbaik kejohanan: Rosenanee Kanoh (Pattani).
Pengadil: Nur Nadhirah Nasaruddin (SEL) & Faizshal Niaz-Lyn (KL).