Titiwangsa atasi Pudu untuk tempat ketiga

KUALA LUMPUR - Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Titiwangsa membuktikan kemampuan untuk menduduki tempat ketiga Cabaran Kriket Perempuan dengan kemenangan sebelas larian ke atas SMK (P) Pudu di Bayuemas Oval pada 8 Ogos 2015.

Perlawanan penentuan ketiga bagi merebut Perisai Tuanku Najihah itu menyaksikan Titiwangsa dari Kuala Lumpur mengumpulkan 109-1 dalam peruntukan 25 over dengan pembuka pukulan, Nabila Nazeli melakukan 46 tanpa tewas dan Syahira Hassan Ali dengan 30.


Pudu juga dari Kuala Lumpur tidak berkemampuan mengatasi angka sasaran dan hanya membalas dengan 98-9.

''Kami telah melakukan apa yang terdaya tetapi Titiwangsa memang lebih handal dari segenap sudut semalam,'' kata pengurus Pudu, Wajdi Hassan.

Babak akhir berlangsung 9 Ogos juga di Bayuemas Oval bakal menampilkan juara bertahan, SMK Clifford dari Kuala Lipis, Pahang menentang Pattani dari Thailand.

Persatuan Kriket Melayu Malaysia menganjurkan kejohanan ini sejak tahun lepas sebagai acara kemuncak kepada program pembangunannya untuk peserta perempuan.

KEPUTUSAN:
SMK Seri Titiwangsa kalahkan SMK (P) Pudu dengan 11 larian.
Titiwangsa 109-1 (25 over) Nabila Nazeli kekal 46,
Syahira Hassan Ali 30.
Pudu 98-9 (25 over) Fatehhah Fadil 29, Izzah Bahirah Zailan 12. Azmaniza Hariman 3-15, Arianna Natasya Benn Rakquidean 3-16.
Pemain terbaik: Nabila Nazeli (Titiwangsa).
Pengadil: Fadzrin Kate-Lee (KL) & Nur Nadhirah Nasaruddin (KL)
 
JADUAL 9 OGOS 2015:
(BABAK AKHIR)
 
SMK CLIFFORD lwn PATTANI
(Bayuemas Oval, 10 pagi)