Clifford, Pattani berentap dalam pertemuan akhir

KUALA LUMPUR - Pattani dan Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford bertemu lagi dalam perlawanan akhir Cabaran Kriket Perempuan bagi merebut Perisai Tuanku Najihah untuk musim kedua apabila mengatasi lawan masing-masing dalam pertemuan separuh akhir di Bayuemas Oval pada 7 Ogos 2015.

Pattani dari Thailand mudah membaham SMK Seri Titiwangsa dari Kuala Lumpur dengan sepuluh wiket manakala Clifford dari Kuala Lipis, Pahang pula menumbangkan SMK (P) Pudu, Kuala Lumpur dengan enam wiket.

''Kami dapat rasakan bahang babak akhir Ahad ini dan usah dinilai pertemuan pusingan awal yang memihak dengan Clifford. Pattani merupakan sebuah pasukan kebal terutama sekali pemukul pembukaan mereka,'' kata pengetua SMK Seri Titiwangsa, Nik Anuay Abdullah.

Pudu akan bersaing dengan Titiwangsa bagi penentuan ketiga di gelanggang sama pada 8 Ogos.

Pattani akan mengekalkan kesebelasan pemain yang beraksi dalam separuh akhir dan merehatkan Waerohaning Lateh yang cedera di kaki dalam pertemuan akhir kelak.

Manakala skuad juara bertahan, Clifford yang menerima latihan sepenuh masa daripada jurulatih Sri Lanka, Don Vipula Sittamige meletakkan harapan ke atas lima pemain utamanya, Sasha Azmi; kapten pasukan, Noor Hayati Zakaria; Ainna Hamizah Hashim;  pemutar, Mahirah Izzati Ismail dan Mas Elysa Yasmin Zulkifli.

Kejohanan diperkenalkan sejak tahun lepas oleh Persatuan Kriket Melayu Malaysia khusus untuk pasukan Projek Kriket Nasional kendalian pertubuhan itu.

KEPUTUSAN:
SMK Clifford kalahkan SMK (P) Pudu dengan 6 wiket.
Pudu 41-6 (25 over) Shuhada Abdullah kekal 11, Azimah Zainal kekal 11. Saidatul Bariah A. Munawir 2-5, Ainna Hamizah Hashim 2-11, Noor Hayati Zakaria 2-11.
Clifford 42 (9.2 over) Mas Elysa Yasmin Zulkifli 10. Wan Zulaikha Zulhisham 4-17.
Pemain terbaik: Saidatul Bariah A. Munawir (SMK Clifford).
Pengadil: Faizshal Niaz-Lyn (KL) & Fadzrin Kate-Lee (KL).
 
Pattani kalahkan SMK Seri Titiwangsa dengan 10 wiket.
Titiwangsa 55 (24 over) Shagufta Arwae 2-10, Soraya Lateh 2-10, Suraiya Bula 2-15.
Pattani 56-0 (4.1 over) Rosenanee Kanoh kekal 23, Shagufta Arwae kekal 17.
Pemain terbaik: Shagufta Arwae (Pattani)
Pengadil: Faizshal Niaz-Lyn (KL) & Nur Nadhirah Nasaruddin (KL)
 
JADUAL 8 OGOS 2015:
(PENENTUAN KETIGA)
 
SMK (P) PUDU lwn SMK SERI TITIWANGSA
(Bayuemas Oval, 9 pagi)