Penang Free kekalkan kejuaraan

BARISAN SMK Penang Free meraikan kejuaraan mempertahankan Piala Ketua Pengarah Pelajaran dalam Cabaran Kriket Projek Kriket Nasional di Bayuemas Oval, Klang, 26 Julai 2009. Oleh TL ANG

KLANG – Kecemerlangan dalam pusingan awal terus memastikan Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free mengekalkan kejuaraan untuk tiga tahun berturut-turut pada Cabaran Kriket Projek Kriket Nasional dalam saingan dua hari di Bayuemas Oval, di sini, berakhir 26 Julai.

Tanpa mengharungi tugasan menyeksa, SMK Penang Free mengetepikan Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria (VI) dari Kuala Lumpur dengan kemenangan ining dan 27 larian yang turut menonjolkan pembaling pembukaannya, Nazril A. Rahman dipilih pemain terbaik kejohanan.

SMK Penang Free yang mendahului kedudukan mata saingan merebut Piala Ketua Pengarah Pelajaran yang dimulakan sejak Februari lalu itu meninggalkan VI dan satu lagi pasukan, Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang dengan selesa dan telah menepati ramalan terhadap penguasaan pasukan berkenaan musim ini.

‘’Ini merupakan kemenangan besar bagi SMK Penang Free tahun ini walaupun tanpa tiga pemain utama kerana masalah kecederaan dan pelbagai lagi. Kecemerlangan ini adalah juga susulan daripada kemenangan pasukan sekolah menjuarai Liga Pulau Pinang dua minggu lepas.

‘’Kehebatan mempertahankan kejuaraan ini adalah hasil kerjasama semua pemain dan pegawai secara berpasukan,’’ kata Pengetua SMK Penang Free, Ramli Din.

Tanpa membelakangkan hakikat, Pengetua VI, Azizah Othman pula menjanjikan aksi lebih hebat apabila barisan pemainnya melakukan persediaan musim 2010.

‘’Tengok aksi pemain tahun depan. Pemain muda akan lebih dewasa untuk pertemuan musim akan datang,’’ katanya.

Pada 25 Julai, VI yang memenangi undian gagal menyinar dalam sesi pukulan dengan hanya melakukan 106 larian.

Dengan keyakinan lebih, SMK Penang Free berupaya melakukan 256 larian dalam ining pertama yang tamat sebelum tengah hari 26 Julai.

VI merana lagi dengan asakan awal juara bertahan itu dalam ining kedua apabila kehilangan tiga wiket untuk tiga larian sehinggalah pemukul lewat mempertahankan kedudukan setakat 123 larian bagi memastikan skuad Kuala Lumpur itu tidak menerima malu besar.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom hadir dari pagi hingga petang untuk menyerahkan piala kejuaraan kepada pemenang di samping hadiah iringan.


KEPUTUSAN:


Ining pertama:
SMK Victoria 106 (4.15 over) Adzim Yahaya kekal 42, Hazim Darus 26. Tharma Raj CM 4-22, Pavithren Nadeasan  3-18.
SMK Penang Free 256 (63.1 over) Fikri Makram Rosdi 81, Nazril A. Rahman 53, Adam Zulkifli 37, Pavithren Nadeasan 18, Fadzrin Kate-Lee kekal 15, Zubair Aysraf Norazmi 15. Alif Safwan Zol 5-39, Noor Afif A. Saufee 2-22.

Ining kedua:
SMK Victoria 123 (48.4 over) Fauzan Malik 34, Norharif Hamidon 22, Noor Afif A. Saufee 11, Alif Safwan Zol 11. Fikri Makram Rosdi 5-31, Nazril A. Rahman 3-24.

KEPUTUSAN:
SMK Penang Free memenangi Piala Ketua Pengarah Pelajaran dengan kejayaan ining dan 27 larian.

PENGADIL:
Sri Murigak Madhavan & Hafiz Zaman Huri.

PENCATAT:
Tomas Labe

BARISAN SMK Penang Free meraikan kejuaraan mempertahankan Piala Ketua Pengarah Pelajaran dalam Cabaran Kriket Projek Kriket Nasional di Bayuemas Oval, Klang, 26 Julai 2009.

BARISAN SMK Penang Free meraikan kejuaraan mempertahankan Piala Ketua Pengarah Pelajaran dalam Cabaran Kriket Projek Kriket Nasional di Bayuemas Oval, Klang, 26 Julai 2009. 

SERBUAN pembaling SMK Penang Free, Nazril A. Rahman (kiri) ke arah Sivanantha Gobal Krishnan dari VI di Bayuemas Oval, 26 Julai.. Nazril seterusnya dipilih pemain terbaik kejohanan.

SERBUAN pembaling SMK Penang Free, Nazril A. Rahman (kiri) ke arah Sivanantha Gobal Krishnan dari VI di Bayuemas Oval, 26 Julai.. Nazril seterusnya dipilih pemain terbaik kejohanan.

-

-

-

-

-

-