Permulaan cemerlang bagi Clifford, Pattani

KUALA LUMPUR - Dua finalis tahun lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Pahang dan Pattani, Thailand mudah mengatasi lawan dalam pembukaan Cabaran Kriket Perempuan merebut Perisai Tuanku Najihah di Bayuemas Oval pada 3 Ogos 2015.

Clifford menewaskan pendatang baru, SMK Seri Titiwangsa, Kuala Lumpur dengan sepuluh wiket. Tiga pembaling skuad dari Kuala Lipis itu; Sasha Azmi (3-4), Mahirah Izzati Ismail (2-12) dan Ainna Hamizah Hashim (2-11) memastikan lawan menamatkan pukulan setakat 45 larian.

 

Dalam pertemuan sebelah petang, Pattani yang merupakan naib juara musim lalu membenarkan SMK (P) Pudu, Kuala Lumpur mengumpulkan 73 larian sebelum pasukan selatan Thailand itu mengatasi angka berkenaan dengan kemenangan lapan wiket.

''Ini permulaan yang menyakinkan. Kami harap pemain mengekalkan prestasi sebegini untuk lebih bergaya dalam pertemuan berikut,'' kata pengurus Pattani, Asami Borsu.

Kejohanan yang dimulakan sejak tahun lalu itu membabitkan empat pasukan di bawah program pembangunan Persatuan Kriket Melayu Malaysia.

KEPUTUSAN:

SMK Clifford kalahkan SMK Seri Titiwangsa dengan 10 wiket.
Titiwangsa 45
(19.5 over) Arianna Natasya Benn Rakquidean 9. Sasha Azmi 3-4, Mahirah Izzati Ismail 2-12, Ainna Hamizah Hashim 2-11.
Clifford 47-0 (7.4 over) Sasha Azmi kekal 23, Mas Elysa Yasmin Zulkifli kekal 15.
Pemain terbaik: Sasha Azmi (Clifford)
Pengadil: Faizshal Niaz-Lyn (KL), Nur Nadhirah Nasaruddin (KL).


Pattani kalahkan SMK (P) Pudu dengan 8 wiket.
Pudu 73-8
(25 over) Fatehah Fadil 14. Soraya Lateh 4-18, Shagufta Arwae 2-4, Suraiya Bula 2-18.
Pattani 74-2 (13.2 over) Rosenanee Kanoh 30, Suraiya Bula kekal 11. Izzah Bahirah Zailan 2-18.
Pemain terbaik: Soraya Lateh (Pattani)
Pengadil: Fadzrin Kate-Lee (KL), Faizshal Niaz-Lyn (KL)

JADUAL 4 OGOS 2015:

SMK SERI TITIWANGSA  lwn PATTANI
(Bayuemas Oval, 9 pagi)

SMK CLIFFORD lwn SMK (P) PUDU
(Bayuemas Oval, 1.30 petang)