Tiga pemain Kriket Melayu bertanding dalam liga Sri Lanka

KUALA LUMPUR - Tiga pemain daripada program pusat prestasi tinggi Persatuan Kriket Melayu Malaysia akan beraksi dalam liga bawah 23 tahun kebangsaan Sri Lanka bermula 8 Ogos 2015.

Dengan penajaan penuh daripada Yayasan Sime Darby, ketiga-tiga pemain berkenaan akan mewakili kelab masing-masing dan bermain sehingga akhir bulan September.


Tiga pemain yang dipilih ialah pembaling pantas kebangsaan, Nazril A. Rahman, pembuka pukulan Norhamizan Hamidon dan pemukul perkasa Azwar A. Tajri.

''Mereka akan beraksi dengan tiga kelab ternama di Colombo dan bermain dalam liga bawah 23 kebangsaan negara itu merupakan suatu penghormatan besar bagi ketiga-tiga pemain ini,'' kata Timbalan Setiausaha Kriket Melayu, M. Najib Hassan di klia2 di Sepang pada 2 Ogos.

Nazril pernah bermain dalam liga emerging Sri Lanka dua tahun lalu dan kini bakal mewakili Chilaw Marians. Azwar mewakili Burgher Recreation Club dan Norhamizan untuk Bloomfield.

Musim lepas Kriket Melayu; juga dengan tajaan Yayasan Sime Darby telah menghantar sembilan pemain untuk penempatan luar negara di Afrika Selatan, Sri Lanka, Australia dan England.

''Inilah usaha kami untuk melonjakkan lagi kemantapan pemain apabila bersaing dan bergandingan dengan barisan yang unggul di luar negara,'' kata Najib.

Nazril dan Norhamizan merupakan pemain daripada program Kriket Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia manakala Azwar daripada program di Asia Pasific University.