VI kembali mencorak peluang

ZUBAIR ASYRAF NORAZMI (kiri) bakal membuka pukulan untuk juara bertahan.KLANG: Perbandingan akademik sentiasa memihak kepada juara bertahan dua tahun berturut-turut, Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free untuk mempertahankan gelaran pada pertemuan dua ining di Bayuemas Oval di sini pada 25 dan 26 Julai ini.

Malah pasukan juara tahun 2007 dan 2008 itu lebih perkasa daripada kedua-dua musim terdahulu tetapi penyerapan semula Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria (VI) dari Kuala Lumpur untuk bertarung dalam babak akhir Cabaran Projek Kriket Nasional musim ini membuktikan barisan muda skuad itu semakin matang untuk menguji lawan.

Sejak saingan merebut Piala Ketua Pengarah Pelajaran diperkenalkan pada 2004, VI menang tiga kali pada 2004 hingga 2006 dan kemudian berganti penguasaan kepada skuad Penang Free.

SMK Tinggi Kajang yang hanya bertarung mulai tahun lepas masih belum berkeupayaan menjejakkan kaki ke peringkat akhir manakala Sekolah Sukan Bandar Penawar cuma bersaing hingga tahun lepas.

‘’Aturcara menarik dalam saingan akhir ini walaupun berformat dua ining. Kepada pasukan pilihan, jangan beranggapan mudah kerana tersilap perhitungan boleh kecundang,’’ kata Naib Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia , Datuk Ar. Mir Shahariman Shaharuddin.

Walaupun bermain tanpa mengharapkan keajaiban, VI mengharapkan sokongan beberapa tenaga utama seperti kaptennya, Faizshal Niaz-Lyn bersama rakan-rakan sepasukan seperti pemutar kiri Alif Safwan Zol, pemukul awal, Sivanantha Gobal Krishnan serta pemain bawah 15 negara, Hazim Darus, Adzmin Yahaya, Fauzan Malik, Nik Nabil Safwan Anuay  dan Norharif Hamidon.

VI yang memiliki pasukan yang sering digeruni terdahulu juga kehilangan beberapa pemain utama daripada skuad bawah 15 Malaysia tahun lalu, seperti Kamarul Anuar Azhar serta Ramdan Samsudin berikutan ketidakserasian terpaksa menaruh kepercayaan kepada barisan di tahap sederhana berbanding Penang Free yang dianggap skuad terbaik kebangsaan buat masa ini.

Penang Free menampilkan Adam Zulkifli selaku kapten di samping Adib Rahim dan pemain skuad bawah 19 negara, Keithan Goonasagaran, Fikri Makram Rosdi, Zubair Asyraf Norazmi dan Ahmad Zahid Adnan.

Tidak terkecuali Pavitheran Nadaesan selaku pemutar kanan barisan bawah 15 nasional terdiri daripada Fadzrin Kate-Lee, Tharma Raj CM, Kavintheran Kumar, Nasiruddin Mazlan dan Ahmad Tajudin Ismail.

‘’Kami mengharapkan Penang Free mencapai kemenangan mutlak tanpa mengharapkan kejuaraan menerusi angka ining pertama,’’ kata pengetuanya, Ramli Din.

Selepas enam tahun bersaing, Mir Shahariman membayangkan sedikit penukaran peraturan permainan agar saingan ini menguntungkan semua pemain berdasarkan penyertaan secara menyeluruh.

‘’Kami sedang menghimpun pelbagai pandangan untuk menjadikan saingan merebut Piala Ketua Pengarah Pelajaran semakin dihormati,’’ kata bekas pembaling separuh pantas itu.


JADUAL BABAK AKHIR:

25 & 26 JULAI:
SMK PENANG FREE lwn SMK VICTORIA
(Bayuemas Oval, 10 pagi)

JUARA LALU:
2004: SMK Victoria
2005: SMK Victoria
2006: SMK Victoria
2007: SMK Penang Free
2008: SMK Penang Free

FAIZSHAL NIAZ-LYN... Pemukul pembukaan dan ketua pasukan Victoria Institution.

FAIZSHAL NIAZ-LYN... Pemukul pembukaan dan ketua pasukan Victoria Institution.

FIKRI MAKRAM ROSDI... Pemukul agresif Penang Free School.

FIKRI MAKRAM ROSDI... Pemukul agresif Penang Free School.

ZUBAIR ASYRAF NORAZMI (kiri) bakal membuka pukulan untuk juara bertahan.

ZUBAIR ASYRAF NORAZMI (kiri) bakal membuka pukulan untuk juara bertahan.