Yayasan Sime Darby taja gelanggang kriket di UKM

KUALA LUMPUR - Sebuah gelanggang kriket bertaraf antarabangsa akan dibina di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dekat sini sebagai sokongan kepada pembangunan pusat prestasi tinggi kriket di pusat pengajian tinggi berkenaan.

Sebagai sebuah pusat prestasi tinggi naungan Persatuan Kriket Melayu Malaysia, UKM telah menerima komitmen penajaan berjumlah RM1.4 juta daripada Yayasan Sime Darby semalam.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh berbangga dengan pencapaian UKM dalam permainan kriket tempatan dan antarabangsa dan berharap sokongan daripada Yayasan Sime Darby untuk membina sebuah gelanggang tanah asli akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad yang juga Pro Canselor UKM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid hadir menyaksikan majlis menandatangani memorandum penajaan pada 24 April 2015 oleh Mohd. Bakke, Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Noor Azlan Ghazali dan Timbalan Yang Dipertua Kriket Melayu, Tan Sri Wan Abdul Rahman Yaacob.

Kriket Melayu dan UKM telah bersepakat untuk mewujudkan pusat prestasi kriket pada 2007 dan institusi itu telah membina sebuah padang kriket  dan nets rumput tiruan.
 
''Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Sime Darby kerana sokongan mewujudkan sebuah gelanggang bertaraf antarabangsa dengan permukaan lapangan tengah tanah asli,'' kata Dr. Noor Azlan.

UKM memiliki 25 pemain yang disalurkan menerusi Projek Kriket Nasional kendalian Kriket Melayu. Semua pemain itu berbakat tinggi dan dibekalkan untuk mewakili negara dalam pertandingan antarabangsa.