Melayu Malaysia lawan Bangladesh penentu ke babak akhir

KUALA LUMPUR - Melayu Malaysia mengatasi India dengan empat wiket tetapi peluang ke babak akhir Cabaran Kriket Bawah 15 Antarabangsa hanya ditentukan 10 April 2015 apabila tuan rumah berentap dengan Bangladesh di Bayuemas Oval, Klang.

Dalam pertemuan 9 April; juga di Bayuemas Oval, India yang hanya mengumpulkan 62 larian dipintas Melayu Malaysia dalam 18.2 over tetapi enam wiket pasukan negara sudah berjaya diranapkan lawan.

''Untuk penentu babak akhir esok, kami terpaksa menamakan barisan terbaik lebih-lebih Bangladesh dan Melayu Malaysia masing-masing memiliki sembilan mata hasil tiga kemenangan dan satu kalah,'' kata Timbalan Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tan Sri Wan Abdul Rahman Yaacob.

Dua jurulatih Melayu Malaysia untuk kejohananitu, Sarath Jayawardana dan Pramuka Liyanage diarah menghitung perancangan bagi menjinakkan Bangladesh yang memiliki barisan pemutar dihormati.

Jayawardana yang merupakan jurulatih kanan mengaku tersilap percaturan sehingga kehilangan enam wiket ketika menentang India berharap, barisan yang diamanahkan dalam permainan terakhir kumpulan pada 10 April akan menghasilkan kejayaan kelak.

Dalam dua lagi pertemuan 9 April, juara bertahan Sri Lanka yang sudah pun layak ke perlawanan akhir mudah menumbangkan Afrika Selatan dengan sembilan wiket di RSC Kiara manakala di Kinrara Oval, Bangladesh terlalu garang membaham Singapura juga dengan sembilan wiket.

Persatuan Kriket Melayu Malaysia menganjurkan pertandingan tahunan merebut Trofi Tuanku Ja'afar itu sejak tahun 2004 sebagai kesinambungan kepada program pembangunan mereka di peringkat menengah.

KEPUTUSAN:

Melayu Malaysia kalahkan India dengan 4 wiket.
India 62 (30 over) Manav Chatterjee kekal 11.  Ikmal Yazid 3-9, Shahriel Aizat Nor Azmi 2-7, Zubaidi Zulkifle 2-13, Haiqal M. Khair 2-23.
Melayu Malaysia 64-6 (18.2 over) Shahriel Aizat Nor Azmi 16, Nuriskandar Rizal Effandi 11.  Atharva Ankolekar 3-27.
Pemain terbaik: Ikmal Yazid (Melayu Malaysia).
Pengadil: Faizshal Niaz-Lyn (KL) & Bertle Alex James (NS).
Referi perlawanan: Salim Hussin (JOH).

Bangladesh kalahkan Singapura dengan 9 wiket.
Singapura 63
(36 over) Aryan Kiran Badhe kekal 19.  Yeasin Arafat Hira 5-8.
Bangladesh 64-1 (9.5 over) Yeasin Arafat Hira kekal 27, Abdulla Jesan kekal 25.       
Pemain terbaik: Yeasin Arafat Hira (BAN).
Pengadil: Magathewar Murugesu (KL) & Rosman Zakaria (TEN).
Referi perlawanan: Alwi Zaman (SEL).

Sri Lanka kalahkan Afrika Selatan dengan 9 wiket.
Afrika Selatan 58
(31.2 over) Justin Broad 16.  Dilum Sudeera 4-11, Tithira Weerasinghe 2-6.   
Sri Lanka 59-1 (6.1 over) Nipun Malinga kekal 22, Ranmith Jayasena kekal 21.
Pemain terbaik: Dilum Sudeera (Sri Lanka).
Pengadil: Mat Rani Seman (KEL) & Zaidan Taha Hasim (TEN).
Referi perlawanan: Mohidin Hashim (SEL).
 
JADUAL 10 APRIL 2015:
 
MELAYU MALAYSIA lwn BANGLADESH
(Bayuemas Oval, 9.30 pagi)
 
AFRIKA SELATAN lwn INDIA
(Kinrara Oval, 9.30 pagi)
 
SRI LANKA lwn SINGAPURA
(RSC Kiara Oval, 9.30 pagi)