Penguasaan Pantai Timur dalam babak akhir

Kriket Elit 2009KLANG, 13 Jun –  Pekan dan Kota Bharu memastikan penguasaan Pantai Timur dalam babak akhir Kejohanan Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan di Bayuemas Oval esok.

Dalam separuh akhir di Bayuemas Oval hari ini, Pekan terlalu perkasa untuk ditandingi Westlands dari Pulau Pinang dengan kemenangan 61 larian berpandukan kaedah Duckworth-Lewis setelah hujan mengganggu perlawanan.

Kota Bharu pula amat sukar ditewaskan dengan kegarangan membenam Kelab PJ dari Selangor dengan 49 larian walaupun kedua-dua pasukan menonjolkan aksi memukul kelas tinggi dalam kategori bawah 12 itu.

‘’Nampaknya keempat-empat pasukan yang mara ke separuh akhir menayangkan kehebatan masing-masing dengan mengumpulkan larian tinggi.

‘’Ini membuktikan program pembangunan telah bergerak dengan meyakinkan,’’ kata pegawai pembangunan Persatuan Kriket Melayu Malaysia , Haris A. Baker.

Pekan melakukan 167-7 dengan Hamizi Zulkifli mengetuk 46 larian manakala Kota Bharu mengumpulkan 177-3 berdasarkan aksi hebat Faiz Ahmad Nasir (79 larian tanpa tewas) dan Mahathir Razali (44) yang begitu tenang di lapangan tengah.

‘’Seperti janji terdahulu, kami menepati perancangan untuk beraksi dalam babak akhir dan pertembungan esok sudah memadai untuk memastikan kejuaraan kepada pasukan yang memukul dengan baik.

‘’Lapangan tengah di Bayuemas Oval pasti akan memberi kelebihan kepada pemukul yang bijak mencorak larian,’’ kata pengurus Kota Bharu, Zaki Malik.

Pengurus Pekan, Sulfian Izuddi Deraman mengharapkan keyakinan pemain untuk meraih kejuaraan keempat tahun ini.

‘’Perisai Tun Ahmad Sarji semakin menghampiri Pekan,’’ katanya.


KEPUTUSAN SEPARUH AKHIR:

Pekan kalahkan Westlands dengan 61 larian berpandukan kiraan Duckworth-Lewis setelah gangguan hujan. Sasaran 122 untuk menang.

Pekan 167-7 (25 over) Hamizi Zulkifli 46, Khalid Al-Walid Ghazali 28, Noor Azizul Manan kekal 19. Zarith Azrain Harris Andria 4-38, Jeeventhra Kuhilan Kumarasamy 3-33.

Westlands 61-7 (15 over) Harvindran Rajendran 12. Amdan Wiliyoh 3-8, Zulkhairil Muda 2-8.

Pemain terbaik: Hamizi Zulkifli (Pekan)

Kota Bharu kalahkan Kelab PJ dengan 49 larian.

Kota Bharu 177-3 (25 over) Faiz Ahmad Nasir kekal 79, Mahathir Razali 44, Zaafarani Zalizan 21.

Kelab PJ 128-6 (25 over) James Edward Samuel 40, Virandeep Singh 32. Faiz Ahmad Nasir 3-23.

Pemain terbaik: Faiz Ahmad Nasir (Kota Bharu)

BABAK AKHIR:

PEKAN lwn KOTA BHARU

(10 pagi, Bayuemas Oval)

AKSI mendebarkan dalam usaha mati lari oleh pemain Westlands dari Pulau Pinang sewaktu bertemu Pekan dalam separuh akhir Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan di Bayuemas Oval pada 13 Jun 2009.

AKSI mendebarkan dalam usaha mati lari oleh pemain Westlands dari Pulau Pinang sewaktu bertemu Pekan dalam separuh akhir Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan di Bayuemas Oval pada 13 Jun 2009.