Kriket: Sekolah Sains Raub sertai cabaran rebut Piala Ketua Pengarah Pelajaran

SEKOLAH Menengah Sains Tengku Abdullah (Semesta), Raub, Pahang dipilih menyertai Cabaran Kriket Projek Kriket Nasional bagi merebut Piala Ketua Pengarah Pelajaran bagi musim 2015.

Dalam mesyuarat perancangan program pembangunan kriket 2015 bersama Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Ketua Sektor Pendidikan Sukan Kementerian Pelajaran, Dr. Zuber Hassan berkata, semua pengetua dalam Projek Kriket Nasional-Pembangunan Menengah menerima sebulat suarat kemasukan Semesta dalam pertarungan tahun ini.

''Semua empat pengetua pasukan yang mengambil bahagian dan empat lagi pengetua sekolah dalam program berasingan Kriket Melayu bersetuju dan mengalu-alukan penyertaan Semesta ini,'' katanya yang mempengerusikan mesyuarat di Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran di Putrajaya pada 20 Januari 2015.

Sewaktu babak akhir Cabaran Projek Kriket Nasional tahun lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof mencadangkan agar juara bertahan pertandingan antara asrama penuh menyertai pertarungan dengan empat lagi pasukan projek Kriket Melayu.

Empat pasukan itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria, Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut Jaya (Kuala Lumpur), SMK Penang Free dan SMK Tinggi Kajang, Selangor.

''Kriket Melayu juga akan meminjamkan khidmat jurulatih kontraknya di SMK Clifford di Lipis, Vipula Sittamige untuk membantu Semesta dalam pertandingan yang bermula akhir bulan ini dan berakhir pertengahan September depan,'' kata Dr. Zuber.

Dalam mesyuarat itu juga, empat pasukan dikenal pasti menyertai saingan kriket perempuan merebut Perisai Tuanku Najihah Ogos ini. Pasukan dalam program Kriket Melayu merangkumi juara bertahan, SMK Clifford, Lipis (Pahang), SMK Perempuan Pudu, SMK Seri Titiwangsa (Kuala LUmpur) dan Rajprachanugroh School dari Pattani Thailand.

''Jika prestasi di sekolah projek; SMK Tengku Indra Petra di Gua Musang (Kelantan) meningkat, pasukan ini juga akan diundang menyertai,'' kata Dr. Zuber.

Turut dibincang dalam mesyuarat itu ialah lebih 20 lagi program pembangunan Kriket Melayu.

 

DR. ZUBER HASSAN