Syazrul Ezat, Fitri wakili Kalutara di Colombo

DUA pemain di bawah naungan Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Syazrul Ezat Idrus dan Fitri Sham berlepas ke Colombo, Sri Lanka pada 13 Januari 2015 untuk mewakili pasukan Kalutara TC dalam Emerging League, Liga Kriket Sri Lanka.

Liga kedua terbesar di Sri Lanka selepas Liga Perdana itu bermula Jumaat ini dan akan berakhir penghujung Mac dengan format ining tiga hari.

'' Syazrul Ezat dari Angkatan Tentera dan Fitri Sham dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam keadaan bersedia untuk berkhidmat dengan Kalutara,'' kata Timbalan Setiausaha Kriket Melayu, Sham Jalil di klia2 di Sepang.

Setiausaha Kalutara TC, Wasantha Ariyawickrama pula berkata, kedua-dua pemain berkenaan akan mengharungi sesi latihan pada 14 dan 15 Januari sebelum disenaraikan dalam pasukan utama untuk berentap minggu ini.

''Kami memang memerlukan Syazrul Ezat sebagai pembaling separuh pantas dan Fitri Sham sebagai pemutar kiri dan mereka diharapkan dapat membantu pasukan kami dalam liga tahun ini. Kami mahu kembali ke Liga Perdana,'' katanya.

Bulan lepas, dua pemain Rashid Ahad dan Suharril Fetri Shuib menamatkan saingan dalam Liga Sara di Sri Lanka selepas beraksi sejak Oktober 2014.

Di samping keempat-empat pemain berkenaan, pemain-pemain di bawah program Kriket Melayu menerusi tajaan Yayasan Sime Darby yang masih bermain di luar negara ialah Adzim Yahaya, Che Wan Razlan Zalati (Perth, Australia), Fikri Makram Rosdi, Zubair Asyraf Nor Azmi (Cape Town, Afrika Selatan) dan Norharif Hamidon di London.


 
SHAM JALIL (tengah) bersama Syazrul Ezat Idrus (kiri) dan Fitri Sham di klia2 sebelum berlepas ke Colombo pada 13 Januari 2015.