Empat jurulatih baharu perkuat pembangunan Kriket Melayu

KUALA LUMPUR - Persatuan Kriket Melayu Malaysia menamakan empat jurulatih tambahan dalam program pembangunan nasional di seluruh negara.

Keempat-empat jurulatih itu, Vipula Sithamige, Pubudu Aluwihare, Chamil Perera dan Pramuka Liyanage merupakan jurulatih berpengalaman di Sri Lanka dan akan berkhidmat di pusat Projek Kriket Nasional peringkat menengah kendalian Kriket Melayu.

Barisan jurulatih dari Sri Langka yang masih dikekalkan Kriket Melayu ialah Sarath Jayawardana sebagai jurulatih kanan, Susil Ananda dan Dilip Prasanna. Seorang lati jurulatih pembangunan, Chamath Perera dipindahkan perkhidmatannya ke pusat prestasi tinggi di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Naib Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia,Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Noordin mengumumkan Sithamige akan berkhidmat di Kuala Lipis, Pahang  manakala Perera di pusat  terbaharu di Gua Musang.

''Vipula (Sithamige) akan turut sama membantu pembangunan di   Raub manakala Perera turut ditugaskan membangunkan anak-anak Orang Asli di sekitar Kuala Betis, kawasan pedalaman di Gua Musang,'' katanya.

Dua lagi jurulatih, Liyanage akan bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut Jaya yang diramal menjuarai saingan Piala Ketua Pengarah Pelajaran tahun ini. Aluwihare akan membentuk pasukan di SMK Seri Titiwangsa (Sekolah Sukan Kuala Lumpur) yang akan disertai oleh 38 pelajar kriket.

Ananda, Jayawardana dan Prasanna masing-masing bertugas di SMK Tinggi Kajang, SMK Victoria, Kuala Lumpur dan SMK Penang Free.

''Kami juga sudah merangka perancangan untuk melahirkan ramai pemutar kiri, penjaga wiket kelas tinggi dan pemukul kiri. Malaysia ketandusan ketiga-tiga bahagian ini,'' katanya.

JURULATIH KRIKET MELAYU... (Dari kiri) Susil Ananda, Dilip Prasanna, Sarath Jayawardana, Pubudu Aluwihare, Chamil Perera, Pramuka Liyanage dan Vipula Sithamige.