Kriket: Musim kedua lebih serius

 

KUALA LUMPUR - Misi tahun kedua bersaing dalam Cabaran Kriket Perempuan Antarabangsa Chiang Mai bermula 21 hingga 26 November 2014 akan memastikan skuad Melayu Malaysia tidak akan mengulangi persembahan buruk musim lalu.

Dengan matlamat mengumpulkan paling minimum 110 larian atas papan catatan dalam setiap perlawanan 25 over, pasukan muda Melayu Malaysia lebih yakin untuk menyaingi tiga lagi pasukan tempatan di sana.

 

''Menang atau kalah bukan perhitungan tetapi bermain dengan sebuah negara yang memiliki pasukan hebat menjadi tumpuan utama kami.

''Yang nyata pasukan kami tidak akan dibelasah lagi,'' kata pengurus skuad perempuan Melayu Malaysia, Ridzuan Ludin.

Tahun lepas dalam penyertaan pertama, pemain yang rata-rata berusia 13 tahun itu kalah teruk kepada tiga pasukan tempatan Thailand.

Dengan barisan yang juga muda tahun ini, skuad Melayu Malaysia tidak lagi tertekan selepas mengharungi sesi latihan dan pendedahan sepanjang tahun.

Thailand sebagai negara juara dalam saingan perempuan peringkat Majlis Kriket Asia (ACC) akan menampilkan tiga pasukan; Ratanakosin Academy, Northern Angels dan Soi Doi Stars.

PEREMPUAN MELAYU MALAYSIA: Noor Hayati Zakaria (kapten), Ainna Hamizah Hashim, Nik Nur Atiela Din, Nur Nabila Nazeli, Mahirah Izzati Ismail, Zumika Azmi, Sasha Azmi, Rohaya Jani, Nur Izzah Zailan, Noor Izzati Affendi, Mas Elysa Zulkifli, Afiqah Farhana Azman, Syazwina A. Halim, S. Bariah Munawir. 

Pengurus: Ridzuan Ludin

Pengadil: Nadhirah Nasaruddin

 

JADUAL:

21 November: Melayu Malaysia lawan Northern Angels

22 November: Melayu Malaysia lawan Soi Doi Stars

23 November: Melayu Malaysia lawan Ratanakosin Academy

25 November: Separuh akhir

26 November: Babak akhir & penentuan ketiga

* Semua perlawanan di Kelab Golf Diraja Chiang Mai)