Padang basah bakal bawa masalah bagi Melayu Malaysia

KUALA LUMPUR - Pasukan kriket bawah 14 Melayu Malaysia yang akan beraksi dalam lapan perlawanan ujian di Sri Lanka bermula 8 November 2014 menjangkakan cabaran sengit untuk menyesuaikan diri dengan permukaan padang di negara itu.

Ketua kontinjen Malaysia ke sesi ujian itu, Sham Jalil menyebut bahawa hujan lebat yang turun setiap hari di sana sama ada petang atau malam bakal membawa kesukaran bagi skuad Melayu Malaysia terutama sekali kelembapan permukaan lapangan tengah.

''Ia boleh menjerat permainan apabila memukul terdahulu dan kadang kala keadaan sebaliknya akan wujud.

''Apa pun kami mengharapkan kurator padang di sana boleh menyediakan padang dengan baik,'' katanya.

Sesi perlawanan ujian digerakkan oleh Persatuan Kriket Melayu Malaysia bagi kumpulan pemain muda itu setiap musim sejak 15 tahun lepas dan telah memberi manfaat besar ke arah peningkatan prestasi peserta.

''Lagi pun Sri Lanka merupakan negara terbaik dalam kumpulan peringkat usia bawah 15,'' kata Sham, bekas pembuka pukulan Malaysia.

Semua perlawanan ujian telah dirancang awal tahun ini dengan penampilan pasukan-pasukan kuat di Sri Lanka. Tahun lepas Melayu Malaysia menang lima daripada lapan perlawanan.

''Seramai 15 pemain yang dipilih adalah yang terbaik dalam negara dan semua berada dalam Projek Kriket Nasional kendalian Kriket Melayu.''

PASUKAN BAWAH 14 MELAYU MALAYSIA:
Zubaidi Zulkifle, Shahriel Aizat Nor Azmi, Nur Farhan Sohud, Haiqal M. Khair, Hasif Norhaizan, Emammeah Azman, Faris Ikram, Zaim Asnawi Osman, Ammar Zuhdi Hazalan, Akmal Ziyad Zainuddin, Nuriskandar Rizal Effandi, Aidil Iman Yahaya, Ikmal Yazid, Arif Najmi Sabri, Imran Haris.
Ketua kontinjen: Sham Jalil
Pengadil: Rosman Zakaria

JADUAL:

8 November: Melayu Malaysia lwn Panadura A
Melayu Malaysia lwn Panadura B
9 November: Melayu Malaysia lwn Kelab Sukan Panadura
10 November: Melayu Malaysia lwn Kolej St. Sebastian
11 November: Melayu Malaysia lwn Kolej Prince of Wales
13 November: Melayu Malaysia lwn Kolej St. Peters
14 November: Melayu Malaysia lwn Kolej Carey
15 November: Melayu Malaysia lwn Akademi Marian Cooray


BARISAN kriket bawah 14 Melayu Malaysia yang akan menyertai sesi perlawanan ujian di Sri Lanka bermula 8 November 2014.