Kriket Melayu pilih dua pemain Tentera Udara ke Sri Lanka

DUA pemain Tentera Udara (TUDM) yang juga terkandung dalam program prestasi tinggi Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Suharril Fetri Shuib dan Rashid Ahad berlepas ke Sri Lanka pada 31 Oktober 2014 bagi mewakili Crusaders CC dalam saingan Piala Sara dalam Liga Kriket Sri Lanka.

Suharril, 25, dan Rashid, 24; kedua-dua pemain utama kebangsaan akan beraksi untuk Crusaders yang berpusat di pekan Kalutara; kira-kira 45 minit perjalanan dari Colombo, ibu negara Sri Lanka.

 

Crusaders diletakkan dalam kumpulan A yang turut terdiri daripada Antonian, Muratuwa, Matugama, Customs CC, Kurunegala, Matale dan Abepussa Singhe CC. Tujuh lagi pasukan dalam kumpulan B.

Timbalan Setiausaha Kriket Melayu, Sham Jalil yang turut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang semalam berkata, Crusaders merupakan sebuah pasukan handal dan menjadi pasukan pilihan untuk merangkul Piala Sara musim ini.

''Kami berharap Suharril yang merupakan pemain serba boleh; pemutar kanan dan pemukul pertengahan bersama Rashid seorang pemutar kiri akan mengharungi kecemerlangan di sana,'' katanya.

Wakil Kriket Melayu di Sri Lanka, Senarath Alwis dan Wasantha Ariyawickrama bertanggungjawab ke atas kedua-dua pemain berkenaan sewaktu di negara itu.

Dua lagi pemain, Fitri Sham dan Syazrul Ezat Idrus akan ke Sri Lanka pertengahan Disember 2014 untuk mewakili Kalutara TC dalam Emerging League Kebangsaan.