Fikri Makram, Zubair Asyraf ke Afrika Selatan

DUA lagi pemain di bawah naungan Persatuan Kriket Melayu Malaysia berlepas ke luar negara untuk mewakili kelab profesional bagi musim 2014-15.

Fikri Makram Rosdi dari Kelantan dan Zubair Asyraf Nor Azmi (Negeri Sembilan) ke Cape Town, Afrika Selatan pada 22 Oktober 2014 bagi mewakili Ottoman Cricket Club dalam liga kriket Western Province.

Fikri Makram adalah pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala Zubair Asyraf dari Universiti Teknologi Mara (UiTM); kedua-dua institusi berkenaan merupakan pusat prestasi tinggi kriket bagi Kriket Melayu.

Timbalan Setiausaha Kriket Melayu, Sham Jalil dan Eksekutif Kanan pertubuhan itu, Azahari FM Fuad turut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memberikan taklmat ringkas kepada dua pemain berkenaan.

Bagi musim 2014-15, Kriket Melayu dengan sokongan Yayasan Sime Darby menghantar sembilan pemain untuk penempatan di luar negara termasuk Ahmad Norharif Hamidon yang mengikuti program bermain dan belajar di London selama dua tahun bermula Oktober 2014.

Dua pemain, Che Wan Razlan Zalati, Adzim Yahaya mewakili Bayswater Morley dalam liga Australia Barat di Perth; Suharril Fetri Shuib, Rashid Ahad, Syazrul Ezat Idrus dan Fetri Sham bakal beraksi dalam liga Sri Lanka bermula awal bulan November 2014 hingga pertengahan Mac 2015.

''Kami membelanjakan  hampir RM1.2 juta dalam program pembangunan kriket nasional menerusi sokongan Yayasan Sime Darby,'' kata Sham.