Chilaw Marians ulangi kejayaan bagi tahun ketiga

KUALA LUMPUR - Chilaw Marians menguasai Kriket Undangan Antara Kelab Antarabangsa bagi tahun ketiga berturut-turut apabila mengatasi Melayu Malaysia dengan lima wiket dalam pertemuan akhir di Bayuemas Oval dekat sini pada 19 Oktober 2014.

Wakil Sri Lanka itu memastikan Melayu Malaysia memukul setakat 97 dalam 28.3 over bagi memudahkan sasaran  untuk menang sekali gus merangkul semula Piala Tun Ahmad Sarji.

Dengan membariskan pemukul test Sri Lanka dan pasukan A negara itu, Chilaw Marians yang berada dalam liga perdana negara berkenaan membaham separuh wiket tuan rumah pada kedudukan 33 larian dan seterusnya 52-8.

''Kami tidak mampu bertahan lama tetapi sewaktu mamadang, keupayaan pembaling di tahap tinggi dengan kejayaan meranapkan lima wiket lawan,'' kata pengurus Melayu Malaysia, Khailani A. Jalil.

Malayu Malaysia bersaing dalam kejohanan ini tanpa sembilan pemain utama yang tidak diberi pelepasan oleh pengurusan pasukan kebangsaan kerana membuat persediaan untuk Liga Kriket Dunia Khamis ini.

''Melayu Malaysia bermain baik sewaktu memadang tetapi angka rendah ketika memukul memastikan kejayaan Chilaw Marians,'' kata pengurus pasukan dari Sri Lanka itu, Godfrey Dabrera.

KEPUTUSAN BABAK AKHIR

Chilaw Marians kalahkan Melayu Malaysia dengan 5 wiket.

Melayu Malaysia 97 (28.3 over) Nik Azril Arifin 31, Faizal Abu Hassan 22, Nazril A. Rahman 10.  Arosh Janoda 5-22, Dinuk Hettiarachchi 4-14.

Chilaw Marians 98-5 (13.5 over) Nimesh Perera 66, Kasun Vidura kekal 22.  Fikri Makram Rosdi 2-15.       

Pemain terbaik: Arosh Janoda (Chilaw Marians).  

Pengadil: Asoka de Silva (Sri Lanka) & Faizshal Niaz-Lyn (Malaysia).