Kota Bharu, Pekan ke separuh akhir

Kriket Elit 2009KLANG, 11 Jun  –  Kota Bharu memastikan tempat ke separuh akhir Kejohanan Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan dengan kemenangan besar 63 larian ke atas Westlands dari Pulau Pinang di Bayuemas Oval, di sini hari ini.

Turut mengiringi juara 2006 dari Kelantan itu ke separuh akhir ialah Pekan dari Pahang yang turut sama memenangi pertemuan kedua apabila juara bertahan, Victoria dari Kuala Lumpur tertiarap dengan 45 larian dalam pertemuan sebelah pagi di gelanggang sama.

Apa pun, antara aksi menarik dalam pertemuan hari kedua ialah pengumpulan larian tinggi keempat-empat pasukan diiringi dengan pelbagai aksi pukulan meleret melepasi sempadan.

‘’Cukup bagus dan kami mengharapkan pemilihan pemain bertaraf tinggi senang dilakukan untuk kemasukan ke Projek Kriket Nasional awal tahun depan,’’ kata pegawai pembangunan Kriket Melayu, Harris Abu Baker.

Westlands yang kalah dalam undian telah dipaksa memadang dengan Kota Bharu mengumpulkan 169-8 dalam peruntukan 25 over. Faiz Ahmad Nasir melakukan 69 larian di samping membaham tiga wiket Weslands yang seterusnya dinamakan pemain terbaik perlawanan berkenaan.

Walaupun tidak terdaya untuk mengatasi angka Kota Bharu, Westlands bergaya menamatkan pertemuan sehingga 25 over dengan 106-4.

Victoria hanya mampu menyalahkan kealpaan pasukan sendiri apabila menghadiahkan 61 lebihan untuk meletakkan Pekan 166-7. Mereka setakat mengejar 121 dengan Nik Nazran Sufri Anuay melakukan 42 larian.

‘’Kami bersedia untuk menyekat kemaraan Victoria atau Kelab PJ dalam separuh akhir kelak. Kegarangan kami semakin menjadi buat masa ini setelah dikecewakan dalam saingan MSS Malaysia di Pulau Pinang minggu lepas,’’ kata jurulatih Kota Bharu, Zainuddin Harun.


KEPUTUSAN:

Pekan kalahkan Victoria dengan 45 larian.

Pekan 166-7 (25 over) Syakir Adha Nordin 45, Khalid Al-Walid Ghazali 27, Addam Wiliyoh 13. Nik Nazran Sufri Anuay 2-11, Akmal Aizat M. Sham 2-33.

Victoria 121 (25 over) NIk Nazran Sufri Anuay 42, Tengku Puera Alif Imran Yahya 15. Aj’main Arbi 3-17, Syakir Adna Nordin 3-20.  

Pemain terbaik: Syakir Adha Nordin (Pekan).

Kota Bharu kalahkan Westlands dengan 63 larian.

Kota Bharu 169-8 (25 over) Faiz Ahmad Nasir 69, Hakim Ismail 18.  Jeeventhra Kuhilan Kumarasamy 3-41, Faiz Jumat 2-27, Zarith Azrain Harris Andria 2-28.

Westlands 106-4 (25 over) Harvindran Rajendran 57, Shaunvinder Singh Furrah 18. Faiz Ahmad Nasir 3-16.

Pemain terbaik: Faiz Ahmad Nasir (Kota Bharu)

HARI INI:

WESTLANDS lwn KOTA KINABALU

(Mulai 9.30 pagi)

VICTORIA lwn KELAB PJ

(Mulai 2 petang)

@ Semua perlawanan di Bayuemas Oval

PEMUKUL bergaya Kota Bharu, Faiz Ahmad Nasir melakukan pukulan sisi dalam pertemuan dengan Westlands dari Pulau Pinang pada saingan Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan di Bayuemas Oval, Klang pada 11 Jun 2009.

PEMUKUL bergaya Kota Bharu, Faiz Ahmad Nasir melakukan pukulan sisi dalam pertemuan dengan Westlands dari Pulau Pinang pada saingan Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan di Bayuemas Oval, Klang pada 11 Jun 2009.

PEMADANG Westlands, Zarith Azrain Harris Andria melayangkan badan dalam usaha menyelamatkan bola daripada melewati garis sempadan pada pertemuan dengan Kota Bharu di Bayuemas Oval pada 11 Jun 2009.

PEMADANG Westlands, Zarith Azrain Harris Andria melayangkan badan dalam usaha menyelamatkan bola daripada melewati garis sempadan pada pertemuan dengan Kota Bharu di Bayuemas Oval pada 11 Jun 2009.