Chilaw Marians terus bergaya dengan kemenangan ketiga

KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Chilaw Marians meneruskan kemenangan ketiga berturut-turut apabila menewaskan Melayu Malaysia dengan enam wiket dalam pertemuan Kriket               Undangan Antara Kelab Antarabangsa di Bayuemas Oval, Klang pada 15 Oktober 2014.

Dengan kemenangan berkenaan, Chilaw Marians dari Sri Lanka selesa ke babak akhir Ahad ini walaupun berbaki satu perlawanan menentang wakil Bangladesh, Bright Sports pada 16 Oktober.

Apapun, Melayu Malaysia perlu menundukkan Bright Sports dengan purata larian bersih yang tinggi esok (17 Oktober) untuk beraksi dalam pertemuan terakhir itu.

Dalam pertemuan 15 Oktober, Melayu Malaysia cuma bertahan setakat 65 larian apabila terperangkap dengan balingan mengelirukan lawan pada sesi pagi berikutan bahang dan kelembapan  setelah hujan lebat sebelum perlawanan bermula.

Chilaw Marians mengatasi angka Melayu Malaysia dalam 21.1 over.

''Kami akan berusaha untuk menang dalam perlawanan terakhir. Itulah janji yang boleh dikatakan buat masa ini,'' kata pengurus Melayu Malaysia, Khailani A. Jalil.

KEPUTUSAN:

Chilaw Marians kalahkan Melayu Malaysia dengan 6 wiket.

Melayu Malaysia 65 (28 over) Fitri Sham 13, Anwar A. Rahman 11.  Saliya Saman 3-10, Dinuk Hettiarachchi 2-10, Arosh Janoda 2-11.    

Chilaw Marians 67-4 (21.1 over) Chandima Pussegolla 26, Imraz Rafi 11.  Syazrul Ezat Idrus 2-22.

Pemain terbaik: Saliya Saman (Chilaw Marians).  

Pengadil: Ranjith Visvakula (Sri Lanka) & Faizshal Niaz-Lyn (Malaysia).

 JADUAL 16 OKTOBER:

CHILAW MARIANS lwn BRIGHT SPORTS

(Bayuemas Oval, 9.30 pagi)