Chilaw Marians bekerja keras sebelum menang
Sunday, 12 October 2014 20:21
KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Chilaw Marians dari Sri Lanka dipaksa bekerja keras sebelum menumpaskan Melayu Malaysia dengan tiga wiket dalam Kriket Undangan Antara Kelab Antarabangsa di Bayuemas Oval dekat sini pada 12 Oktober 2014.
Setelah berkedudukan 19-4, Chilaw Marians berkedudukan tenat buat seketika tetapi pengalaman selaku pasukan yang memiliki ramai pemain test Sri Lanka memberi keselesaan kepada mereka untuk menang tipis.
''Kami hanya berupaya mengumpulkan 159 larian tetapi jika dapat mencapai 170 ke atas, ada kemungkinan Melayu Malaysia mampu mengejutkan juara bertahan ini,'' kata pengurusnya, Khailani A. Jalil.
Melayu Malaysia hanya menyenaraikan pasukan kedua setelah sembilan pemain skuad utama tidak dilepaskan oleh pasukan nasional yang melakukan persediaan menghadapi divisyen 3 Liga Kriket Dunia mulai 23 Oktober ini.
Upul Fernando (kekal 56) membawa Chilaw Marians melepasi angka sasaran manakala dua pembuka balingan Melayu Malaysia, Syazrul Ezat Idrus dan Nazril A. Rahman masing-masing meranapkan dua wiket lawan.
Pertandingan merebut Piala Tun Ahmad Sarji itu turut menyediakan hadiah wang tunai lumayan. Sebuah lagi pasukan yang menyertai pertandingan ialah Bright Sports dari Bangladesh.
KEPUTUSAN:
Chilaw Marians (SriLanka) kalahkan Melayu Malaysia dengan 3 wiket.
Melayu Malaysia 159-8 (50 over) Zubair Asyraf Nor Azmi kekal 33, Faizal Abu Hassan 25, Nik Azril Arifin kekal 20, Adzim Yahaya 20, Faruq Hakimin Azmi 14, Norwira Zazmie A. Halim 11. Saliya Saman 3-36, Dinuk Hettiarachchi 2-20.
Chilaw Marians 160-7 (39.4 over) Upul Fernando kekal 56, Imraz Rafi 31, Chalana De Silva 28, Saliya Saman kekal 13, Damindu Ashan 12. Syazrul Ezat Idrus 2-27, Nazril A. Rahman 2-40.
Pemain terbaik: Upul Fernando (Chilaw Marians).
Pengadil: Asoka de Silva (Sri Lanka) & Faizshal Niaz-Lyn (Malaysia).
JADUAL 13 OKTOBER 2014:
BRIGHT SPORTS lwn CHILAW MARIANS
(Bayuemas Oval, 9.30 pagi)