Norharif dihantar beraksi dalam liga di England

KUALA LUMPUR - Pemain kriket dalam pool kebangsaan Norharif Hamidon berlepas ke London pada 1 Oktober 2014 bagi memulakan penempatan beraksi bersama kelab tempatan di England.

Norharif, 20, adalah antara sembilan pemain yang bakal dihantar bermain di luar negara menerusi kesepakatan Persatuan Kriket Melayu Malaysia dan Yayasan Sime Darby bagi musim 2014/15.

Apapun, pemain berasal dari Banting itu turut menerima tajaan untuk menyambung pengajian dalam bidang perakaunan dan kewangan selama dua tahun di University of East London. 

''Bekas naib ketua skuad bawah 19 nasional itu akan bermain untuk kelab Scintilla CC dalam liga Esset bermula April tahun depan di samping London Tigers dalam National Cricket League di London,'' kata Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Lapan lagi pemain telah pun diperakukan dalam mesyuarat majlis Kriket Melayu Selasa lepas untuk bermain di Cape Town, Afrika Selatan; Perth, Australia dan dalam liga Sri Lanka.

Fikri Makram Rosdi (Kelantan) dan Zubair Asyraf Norazmi (Negeri Sembilan) akan ke Afrika Selatan untuk bermain selama enam bulan bermula akhir bulan ini, Che Wan Razlan Zalati (Kelantan), Adzim Yahaya (Pahang) ke Perth selama lima bulan manakala empat pemain, Rashid Ahad, Suharril Fetri Shuib, Syazrul Ezat Idrus (Tentera) dan Fitri Sham (Selangor) ke Sri Lanka bagi mewakili Crusaders CC dan Kalutara TC dalam liga nasional negara berkenaan.

''Ini merupakan fungsi penting Kriket Melayu bagi memastikan pemain tahap tinggi di Malaysia bermain dalam liga luar negara yang mencabar,'' kata Ahmad Sarji.