UKM Oval akan dinaik taraf sebagai gelanggang antarabangsa

KUALA LUMPUR - Gelanggang kriket di Universiti Kebangsaan Malaysia atau lebih dikenali sebagai UKM Oval akan mengharungi pembaikan tidak lama lagi untuk menjadikan padang berkenaan bertaraf antarabangsa.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Nor Azlan Ghazali berkata institusi berkenaan sedang mengumpul dana dalaman dan daripada sektor korporat bagi menjadikan UKM Oval sebagai gelanggang bertaraf tinggi yang boleh menjadi hos kepada perlawanan peringkat antarabangsa.

''Memandangkan pencapaian Malaysia sudah meningkat dalam ranking antarabangsa, adalah sesuai pusat prestasi tinggi kriket di UKM yang menampung ramai pemain kebangsaan memiliki gelanggang bertaraf dunia,'' katanya.

Nor Azlan turut yakin UKM akan dapat mempertahan kejuaraan saingan Kriket Undangan Antara Varsiti Antarabangsa yang akan berlangsung mulai 9 hingga 15 November nanti.

Keyakinan ini berpandukan pencapaian pemain-pemain UKM buat masa sekarang terutama pemilihan enam pemain mewakili skuad negara dalam Sukan Asia di Incheon bermula minggu hadapan.

Saingan edisi ketujuh yang berlangsung di Bayuemas Oval, UKM Oval dan Kinrara Oval itu meletakkan skuad tuan rumah ini akan ditentang pencabar utama, University of Colombo dari Sri Lanka serta Christ University dari India di samping pasukan hebat dari Bangladesh dan Ausstralia.

''Kami mahu merangkul kejuaraan bagi tahun ketiga berturut-turut. Tiada sebab untuk menyerah sebelum berjuang,'' kata Nor Azlan.

UKM yang dilatih oleh Mohammed Salah Uddin dari Bangladesh akan melepasi beberapa sesi ujian pemilihan sebelum skuad 14 terbaik disenaraikan.

Canselor UKM, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir akan turut hadir dalam majlis makan malam pada 12 November di UKM, Bangi.