SMK Tinggi Kajang juara tahun ketiga berturut-turut

KUALA LUMPUR - Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang mengulangi kejuaraan bagi tahun ketiga berturut-turut apabila mengatasi SMK Penang Free dengan kelebihan ining pertama dalam siangan kriket Projek Kriket Nasional sekali gus merangkul Piala Ketua Pengarah Pelajaran pada pertemuan dua hari di Bayuemas Oval, dekat sini 7 September 2014.

Berkedudukan hanya 181-7 dalam ining pertama, SMK Penang Free gagal menahan kemaraan juara bertahan dari Selangor itu apabila lawan mengumpulkan 208-9. Pemain berasal dari Pahang, Amdam Wiliyoh mengetuk angka tertinggi dengan 64 dibantu Hasif Norhaizan yang melakukan 56 larian.

''Kami mencuba tetapi tidak terdaya. Semua perancangan awal berkubur dan kami terpaksa menunggu tahun depan untuk mengatasi kehampaan ini,'' kata pengetua SMK Penang Free, Jalil Saad. Sekolah berkenaan merupakan juara Piala Ketua Pengarah Pelajaran selama lima tahun mulai 2007 hingga 2011.

SMK Penang Free memukul dalam ining kedua setakat 155-5 sebelum melakukan deklarasi untuk mencabar SMK Tinggi Kajang memukul dalam 30 minit. Hanya dua wiket sahaja dimusnahkan lawan tanpa memberi kesan untuk menghalang SMK Tinggi Kajang dipilih juara lagi menerusi kelebihan ining pertama.

''Alhamdulillah. Kami masih juara walaupun tidak mengatasi lawan dengan keputusan mutlak,'' kata penolong kanan SMK Tinggi Kajang, A. Samad Seeron.

Kejohanan bagi merebut Piala Ketua Pengarah Pelajaran dianjurkan Persatuan Kriket Melayu Malaysia sejak tahun 2004.


KEPUTUSAN:
 
Ining pertama:
SMK Penang Free 181-7 (60 over) Ammar Zuhdi Hazalan 58, Faiz Ahmad Nasir 37, Shaunvinder Singh 22, Hadi Halem 18, Faris Aizzat Shaari 17.  Amdam Wiliyoh 2-44, Akmal Aizat Sham 2-51.
SMK Tinggi Kajang 208-9 (60 over) Amdam Wiliyoh 64, Hasif Norhaizan 56, Fatah Ibrahim 23, Sudarmin Darwis 18, Fadli Haris A. Rahman 12.  Faiz Ahmad Nasir 4-49, Zaim Asnawi Osman 2-35.

Ining kedua:
SMK Penang Free 155-
5 (52.3 over) Mahathir Razali 94, Faiz Ahmad Nasir 27, Hadi Halem 16.  Hamzah Amat 2-49.
SMK Tinggi Kajang 20-2 (9 over) Fadli Haris A. Rahman kekal 12.  Mahathir Razali 2-12.

Keputusan: Seri (SMK Tinggi Kajang dahului ining pertama).
Pemain terbaik babak akhir: Amdam Wiliyoh (SMK Tinggi Kajang).
Pemain terbaik kejohanan: Faiz Ahmad Nasir (SMK Penang Free).