Pemain Kriket Melayu ketuai kejayaan di England

KUALA LUMPUR - Pemain dari Malaysia, Faris Almas-Lee menamatkan misi cemerlang di United Kingdom dengan kejayaan mengetuai pasukan Scintilla CC menjuarai Liga Perdana Essex County berakhir  30 Ogos 2014.

 

Sebagai ketua pasukan, Faris, 24, memastikan Scintilla menduduki tempat teratas dengan 259 mata meninggalkan Barking CC di tangga kedua daripada sembilan pasukan.

 

''Kami bermula baik pada awal pertandingan lagi (April). Dengan barisan pemain berpengalaman Scintilla beraksi baik hingga menjuarai liga,'' kata Faris yang masih berada dalam pool skuad utama negara.

 

Katanya, Scintilla hanya berjaya meraih tempat ketiga dalam liga perdana 2013. Pertukaran tonggak pengurusan kelab tahun 2014 termasuk pelantikan kapten baharu membuahkan hasil di mana Scintilla mendapat publisiti hebat daripada surat khabar tempatan berikutan keputusan cemerlang,'' katanya.

 

Faris mula bermain di United Kingdom menerusi program penempatan Persatuan Kriket Melayu Malaysia hasil tajaan Yayasan Sime Darby sejak tahun 2012. 

 

Mula bermain untuk kelab divisyen satu Liga South Wales, Cowbridge; Faris bersama seorang lagi pemain kebangsaan, Aminudin Ramly memastikan kelab berkenaan menduduki tempat kedua. 

 

Dengan mengalihkan tumpuan ke liga Essex di England setahun kemudian, kedua-dua pemain berkenaan yang turut mewakili London Tigers dalam divisyen satu liga kriket kebangsaan (NCL).

 

London Tigers yang beraksi dalam liga perdana NCL 2014 menduduki tempat keempat tahun ini.

 

''Saya berharap pemain dipilih ke program Kriket Melayu dan Yayasan Sime Darby ini akan terus mengharungi pengalaman berguna beraksi dalam liga luar negara yang kompetitif,'' katanya.

 

 FARIS ALMAS-LEE meraikan kejayaan Scintilla dengan memegang sepanduk tanda mencapai kecemerlangan liga.

FARIS ALMAS-LEE (duduk kiri) bersama rakan sepasukan Scintilla CC apabila diisytihar juara Liga Perdana Essex County 2014 di London 30 Ogos 2014.