Tugasan penting dua timbalan setiausaha

M. Najib Hassan dan Mohd. Sham Jalil

DUA timbalan setiausaha akan mengharungi tugas tambahan dalam pengurusan Persatuan Kriket Melayu Malaysia sehingga tamat musim pentadbiran 2016.

 

M. Najib Hassan akan menumpukan tugasan dalam pentadbiran harian pertubuhan berkenaan di samping pemyusunan sokongan pemain kepada Persatuan Kriket Malaysia. Secara purata lebih dua pertiga daripada pemain pembangunan Kriket Melayu membarisi skuad utama nasional, skuad bawah 19 dan bawah 16 kebangsaan.

 

''Ia amat bersesuaian sangat kerana M.Najib bertugas di Majlis Sukan Negara,'' kata seorang pegawai utama Kriket Melayu.

 

Di samping tugasan berkenaan, M. Najib turut akan memberi keutamaan penyusunan kemudahan asas kriket yang merangkumi penyediaan infrastruktur padang kriket di pusat-pusat pembangunan Kriket Melayu di seluruh negara di samping pengurusan stadium antarabangsa, Bayuemas Oval.

 

Seorang lagi timbalan setiausaha, Mohd. Sham Jalil dipertanggungjawab dalam tugasan pembangunan. Ia bermula daripada pusat bawah 12 di seluruh negara, pusat-pusat Projek Kriket Nasional, pusat prestasi tinggi, penempatan serta pendedahan luar negara, kejurulatihan dan perihal teknikal.

 

''Bersesuaian sebagai bekas pemain kebangsaan, Sham berkebolehan untuk tugasan berkenaan. Pembangunan merupakan tumpuan paling penting oleh Kriket Melayu.''

 

Setiausaha Agung Kriket Melayu, Rosmanizam Abdullah akan banyak menumpukan tugas-tugas korporat dan perancangan komersial persatuan berkenaan.