Clifford rangkul Perisai Tuanku Najihah

KUALA LUMPUR - Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Pahang mengungguli Cabaran Kriket Perempuan Nasional apabila menumbangkan Pattani dari Thailand dengan sembilan wiket dalam babak akhir di Bayuemas Oval, dekat sini pada 16 Ogos 2014.

 

Perlawanan berat sebelah yang memberi kelebihan kepada skuad dari Kuala Lipis untuk merangkul Perisai Tuanku Najihah itu hanya membenarkan Pattani melakukan 49 -9.

 

Perhitungan semalam hanya dihadkan setakat 23 over berikutan hujan mengganggu persiapan sebelah pagi. Apa pun Clifford mengambil kesempatan menerusi angka rendah lawan membalas dengan 51-1 dalam hanya 12 over.

 

''Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain kerana beraksi dengan cemerlang hari ini. Kami akan merangka banyak lagi program dan matlamat paling awal ialah untuk memastikan ramai pemain Clifford membarisi skuad Melayu Malaysia ke Cabaran Kriket Antarabangsa Wanita Chiang Mai, Thailand November ini,'' kata Pengetua SMK Clifford, Rosidah Kamaludin.

 

Kejohanan anjuran Persatuan Kriket Melayu Malaysia dilangsungkan buat pertama kali tahun ini khusus sebagai kesinambungan pembangunan bagi pusat Projek Kriket Nasional Kriket Melayu. Clifford, Pattani dan sebuah lagi pasukan, SMK (Perempuan) Pudu merupakan antara pasukan projek Kriket Melayu.

 

Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin turut hadir pada babak akhir itu.

 

KEPUTUSAN:

 

Clifford kalahkan Pattani dengan 9 wiket.  Perlawanan dikurangkan kepada 23 over kerana hujan.
Pattani 49-9
 (23 over) Rosenanee Kanoh 8.  Sasha Azmi 2-7, Zumika Azmi 2-8.

Clifford 51-1 (12 over) Sasha Azmi 21, Nabila Nazeli kekal 14.        

Pemain terbaik babak akhir: Sasha Azmi (Clifford).
Pemain terbaik kejohanan: Sasha Azmi (Clifford).
Pengadil:  Faizshal Niaz-Lyn (Kuala Lumpur) & Redzuan Shahadan (Selangor).