Pekan mahu kejuaraan keempat

Kriket Elit 2009PEKAN - Skuad Pekan yang menjadi pasukan pilihan untuk mara ke babak akhir Kejohanan Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan bermula 10 hingga 14 Jun ini di Bayuemas Oval, Klang menampilkan pasukan daripada empat sekolah bagi memastikan impian untuk bergelar juara dapat dicapai.
 
Pengurusnya, Sulfian Izuddi Deraman yakin, jika semua pemain dapat menonjolkan prestasi terbaik ketika kejohanan, Perisai Tun Ahmad Sarji dapat dimenangi buat kali keempat dalam siri penyertaan skuad ini dalam pertandingan yang turut menawarkan hadiah wang lumayan.
 
Skuad berkenaan menjadi juara pertandingan pada 2004, 2005 dan 2007.
 
Pekan membariskan enam pemain SMK Seri Pekan, tiga dari SK Indera Shahbandar, empat dari SK Kerambit, Lipis dan satu dari SK Sungai Puteri di Rompin.
 
''Semua pemain kawasan pedalaman ini sudah bersedia untuk menayangkan keperkasaan setelah kecundang dalam separuh akhir tahun lalu,'' kata wakil Persatuan Kriket Melayu di Pekan, A. Hafiz Ishak.
 
Kejohanan anjuran Persatuan Kriket Melayu Malaysia sebagai kesinambungan program pembangunannya di seluruh negara hanya membariskan enam pasukan dalam saingan tahun ini.
 
Kumpulan dibarisi Victoria dari Kuala Lumpur, Pekan dan Kelab PJ dari Selangor. Kumpulan B pula dianggotai Westlands (Pulau Pinang), Kota Bharu (Kelantan) dan Kota Kinabalu dari Sabah.
 
Pekan mengemukakan Syakir Adha Nordin sebagai ketua manakala pemadang terbaik pasukan itu, Zulkhairul Muda sebagai naib ketua.
 
Turut sama menguatkan barisan ialah Ajmain Arbi dan Khalid Al-Walid Ghazali yang merupakan gandingan degil yang mampu membawa kecemerlangan pasukan itu.
 
''Kami tidak mahu membesarkan diri tetapi cukup sekadar menjuarai kumpulan A dahulu sebelum melonjakkan semangat untuk dua perlawanan terakhir,'' kata Sulfian Izuddi.

 
JADUAL PEKAN
(Pusingan awal)

10 JUN:
Pekan lwn Kelab PJ
11 JUN:
Pekan lwn Victoria

BARISAN Pekan bersedia untuk memburu kejuaraan kempat Kjeohanan Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan di Bayuemas Oval kelak.

BARISAN Pekan bersedia untuk memburu kejuaraan kempat Kjeohanan Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan di Bayuemas Oval kelak.