Sembilan pemain Kriket Melayu beraksi di luar negara

SEMBILAN pemain berpeluang beraksi dalam liga kriket luar negara apabila Persatuan Kriket Melayu Malaysia menerima sokongan tajaan daripada Yayasan Sime Darby.

Negara yang menjadi pilihan Kriket Melayu ialah Australia, Afrika Selatan, England dan Sri Lanka. Sesi pendedahan bermula Oktober ini.

Fikri Makram Rosdi (Kelantan) dan Zubair Asyraf Norazmi (Negeri Sembilan) akan dihantar bermain selama enam bulan dalam liga di Cape Town, Afrika Selatan. Fikri merupakan pemain dalam program prestasi tinggi Kriket Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia manakala Zubair daripada program di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dua pemain UKM, Adzim Yahaya (Pahang) dan Che Wan Razlan Zalati (Kelantan) pula akan bermain dalam liga di Perth, Australia; juga selama enam bulan.

Norharif Hamidon yang kini belajar dalam program Kriket Melayu di Asia Pacific University akan dihantar ke England untuk bermain dalam dua liga dalam kawalan Essex County. Norharif akan beraksi dalam saingan 50 over dan 40 over. Pemain ini juga akan mendapat sokongan melanjutkan pengajian di University of East London. 

Empat pemain juga disenaraikan beraksi dalam liga Sri Lanka bermula November. Mereka ialah Syazrul Ezat Idrus, Suharril Fetri Shuib, Rashid Ahad (Tentera) dan pelajar UKM dari Selangor, Fitri Sham.

''Kami amat berterima kasih kepada Yayasan Sime Darby kerana terus menyokong belanja besar ini,'' kata Yang Dipertua Kriket Melayu, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
 
 
FIKRI MAKRAM ROSDI melafazkan ikrar apabila dipilih untuk menyertai sesi pendedahan dalam penempatan di Afrika Selatan Oktober ini