Kota Kinabalu janjikan aksi berani

BARISAN Kota Kinabalu yang bakal bertarung di Bayuemas Oval kelak.Oleh TL ANG
 
KOTA KINABALU - Penampilan kedua Kota Kinabalu dalam Kejohanan Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan tahun ini menjanjikan aksi lebih maju dan berani untuk menyaingi pasukan pilihan dalam perebutan Perisai Tun Ahmad Sarji bermula 10 hingga 14 Jun ini di Bayuemas Oval, Klang.
 
Setelah memindahkan pusat dari Sekolah Kebangsaan Likas ke SK Kinarut tahun lalu, program pembangunan yang dikendalikan oleh Persatuan Kriket Sabah dan Persatuan Kriket Melayu Malaysia telah menunjukkan peningkatan yang memuaskan semua pihak.
 
Dengan sokongan teknikal dan berada di bawah Program Pembangunan Kriket Remaja kendalian Kriket Melayu, SK Kinarut yang bernaung atas nama Kota Kinabalu sering dipantau prestasi dari semasa ke semasa oleh bekas pemain kebangsaan, Haerul Marsudin dan Siswanto Moksun Hadi serta Setiausaha Persatuan Kriket Sabah, Hatta Patombongi. Turut agresif mengendalikan latihan dengan pelbagai teknik ialah jurulatih berasal dari Pakistan, Hamid A. Khan.
 
Senarai 14 ke saingan di Bayuemas Oval kelak adalah yang terbaik daripada kalangan 50 pelatih; mereka diyakini lebih berkemampuan daripada kumpulan tahun 2007 lalu,'' kata wakil Kota Kinabalu yang juga guru di SK Kinarut, Norsiah Abdullah.
 
Antara pemain yang bakal menayangkan kegarangan ialah ketua pasukan, Sudarmin Darwis yang baru berusia 11 tahun. Pemain ini merupakan penjaga wiket yang bertindak pantas di belakang kayu pancang.
 
Turut boleh diharapkan menyinar ialah pembaling separuh pantas, Syukri Nizam Amir dan pembaling kidal, Trisman Rudi.
 
Turut membarisi pasukan berkenaan ialah pembaling aksi menarik, Saiful Ali yang dijangka membahayakan pemukul pembukaan lawan.
 
Kota Kinabalu berada dalam kumpulan B bersama Westlands dari Pulau Pinang dan Kota Bharu (Kelantan). Tahun lalu Westlands layak ke separuh akhir manakala Kota Bharu merupakan juara pada 2006.
 
''Tunggu dan lihat, saya yakin Kota Kinabalu juga berkemampuan mara,'' kata Norsiah.
 
 
JADUAL KOTA KINABALU:
(Pusingan awal)
 
10 Jun:
Kota Kinabalu lwn Kota Bharu
(Mulai 2 petang)
 
12 Jun:
Kota Kinabalu lwn Westlands
(Mulai 9.30 pagi)
 

BARISAN Kota Kinabalu yang bakal bertarung di Bayuemas Oval kelak.
BARISAN Kota Kinabalu yang bakal bertarung di Bayuemas Oval kelak.