Kriket Melayu jalin persefahaman di Narathiwat

KUALA LUMPUR - Persefahaman tiga penjuru untuk membangunkan kriket di Selatan Thai dan mewujudkan pusat prestasi tinggi di sebuah institusi pengajian  tinggi di negara itu telah diwujudkan minggu lepas.

Persatuan Kriket Melayu Malaysia yang melakukan pembangunan kriket khusus di wilayah Pattani sejak tahun 2012 telah mengadakan kesepakatan dengan Princess of Naradhiwas University (PNU) di Narathiwat dan Persatuan Kriket Thailand (CAT).

Timbalan Presiden Kriket Melayu, Tan Sri Wan Abdul Rahman Yaacob yang menandatangani persefahaman (MoU) bersama Naib Presiden PNU, Prof. Prateep Muaksakul dan Ketua Pegawai Eksekutif CAT, Mohideen A. Kader berharap dengan kesepakatan itu, ramai lagi pemain dari Pattani dan wilayah lain akan menyertai pusat prestasi tinggi di PNU.

''Persefahaman ini berikutan perbincangan awal pegawai Kriket Melayu dengan Presiden PNU, Prof. Dr. Chongrak Palasai tiga bulan lepas. Pembangunan yang dilakukan oleh Kriket Melayu di Pattani memerlukan pengorbanan setiap pemain dan mereka boleh menyertai pengajian di PNU dengan lebih mudah.

''Bagi kami, universiti di Thailand adalah untuk orang tempatan dan kami merintis laluan bagi mereka,'' katanya.

Thailand merupakan juara kategori perempuan Trofi Majlis Kriket Asia tahun lepas dan sejak membangunkan sukan berkenaan di Pattani, dua pemain yang berusia 15 tahun, Rosenanee Kanoh dan Sorya Latch sudah berada dalam pool skuad negara itu.

Dalam kejohanan kebangsaan di Lopburi tiga minggu lepas, prestasi pasukan Pattani sudah di tahap tinggi dan mereka juga akan menyertai saingan belia di Sisaket, timur Thailand Mac ini.

Kriket Melayu juga akan memperkenalkan saingan perempuan merebut Perisai Tuanku Najihah Ogos ini dengan penyertaan dua pasukan Projek Kriket Nasional di SMK Clifford, Kuala Lipis, SMK (P) Pudu, Kuala Lumpur dan pasukan Rajpracha Nugroh, Pattani.

Kriket Melayu juga memiliki tiga pusat prestasi tinggi iaitu di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Asia Pacific University.