UKM mahu terus kuasai kejohanan

KUALA LUMPUR - Juara selama lima tahun sejak 2009, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masih belum puas dengan gelaran berkenaan malah untuk saingan Kriket Twenty20 UKM bermula Isnin hingga 26 Januari ini, mereka menampilkan dua pasukan bagi memastikan penguasaan menyeluruh pertandingan musim ini.

UKM A bakal dibarisi ramai bintang kebangsaan seperti kapten nasional, Faiz M. Noor, skuad UKM B pula akan menampilkan pemain berbakat daripada kumpulan bawah 19.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali amat berharap kedua-dua pasukan yang diketengahkan itu bakal meraih gelaran juara dan naib johan bagi mengekalkan reputasi sebagai sebuah varsiti ternama dalam permainan kriket di kalangan instituti pengajian tinggi di Malaysia.

UKM A akan bersama dengan Asia Pasific University (APU), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan University of Nottingham dalam kumpulan A. Manakala dalam kumpulan B membariskan Universiti Teknologi Mara (UiTM), UKM B, Universiti Antarabangsa Albukhary(AIU) dan pendatang baru, Saito College dari Petaling Jaya, Selangor.

Pengarah kejohanan, Fairus Shafie masih menganggap tugas UKM A atau B bukanlah mudah untuk mengekalkan reputasi sebagai pasukan gagah malah terpaksa mengharungi pertandingan format 20 over itu dengan tabah di samping perlu bersedia menghadapi kemungkinan gangguan hujan.

''Apabila hujan mengganggu perlawanan, macam-macam boleh jadi. Kalah-menang juga berpandukan kepada keadaan sebenar pada hari pertemuan,'' kata Fairus.

APU dan UiTM merupakan dua pasukan yang boleh menafikan peluang UKM dan faktor cuaca merupakan antara penyebab penting.

Perlawanan berlangsung di Bayuemas Oval, Kampung Pendamar, Klang dan UKM Oval di Bangi. Babak separuh akhir, penentuan ketiga dan babak akhir juga di Bayuemas Oval yang diiktiraf gelanggang terbaik di Malaysia.