Pertandingan diperkemaskan
Friday, 29 May 2009 04:53
Tanpa menarfikan dua belas lagi pasukan dalam program pembangunan kendalian Persatuan Kriket Melayu Malaysia itu,
penyertaan enam skuad ‘terbaik’ ini diperakukan berpandukan pelbagai faktor positif dalam usaha melahirkan ramai lagi pemain prestasi tinggi dalam sukan kriket di negara ini.
Tahun ini, Kota Kinabalu disenaraikan semula setelah ‘berehat’ selama setahun manakala Gemencheh yang memenangi empat gelaran terdahulu tidak berkemampuan menyertai kejohanan musim 2009.
‘’Kami hanya memilih pasukan serius yang berkehendakkan kemajuan daripada melayan masalah,’’ kata Pegawai Pembangunan dan Teknikal Kriket Melayu, Haris Abu Baker.
Victoria dari Kuala Lumpur selaku juara bertahan seolah-seolah sukar untuk mempertahan gelaran dan berada dalam kumpulan A bersama Pekan dari Pahang dan Kelab PJ (Selangor).
Dua pencabar wakil Kuala Lumpur itu menjanjikan kegarangan; lebih-lebih lagi Pekan yang telah tiga kali mencapai kejuaraan sejak pertandingan ini diperkenalkan pada 1999.
‘’Semua pasukan dalam keadaan terbaik dan sebagai juara bertahan, kami terpaksa bekerja keras,’’ kata penaung pasukan Victoria , Nik Anuay Abdullah.
Dalam kumpulan B pula, Westlands dari Pulau Pinang akan dicabar Kota Bharu dari Kelantan dan Kota Kinabalu.
Pengelola Westlands, Nasir Adam beranggapan pasukannya terlalu serius untuk merangkul kejuaraan tahun ini setelah hanya layak ke separuh akhir dua tahun berturut-turut sejak 2007.
Tidak terkecuali juara tahun 2006, Kota Bharu menjanjikan aksi cemerlang tahun ini setelah menerima nasib malang setelah terkeluar daripada saingan ke separuh akhir tahun lepas.
‘’Memalukan tahun lalu. Kami mahu hadiah wang terbanyak kali ini,’’ kata jurulatih Kota Bharu, Zainuddin Harun.
Kejohanan yang diilhamkan oleh Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang kini Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia akan menawarkan hadiah wang berjumlah RM5,000 termasuk ganjaran untuk pemain terbaik sepanjang pertandingan.
Menerusi Program Pembangunan Kriket Remaja yang turut disokong oleh Astro, Kriket Melayu telah melahirkan ramai pemain yang sudah membarisikan pasukan utama Malaysia di samping barisan peringkat usia seperti skuad bawah 19, 17, 15 dan dahulunya bawah 13.
Daripada pembangunan bawah 12, pemain yang diyakini boleh maju akan diserapkan dalam Projek Kriket Nasional – Pembangunan Menengah sama ada di Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria ( Kuala Lumpur ), SMK Penang Free atau di SMK Tinggi Kajang.
KUMPULAN A
Victoria ( Kuala Lumpur )
Pekan (Pahang)
Kelab PJ (Selangor)
KUMPULAN B
Westlands (Pulau Pinang)
Kota Bharu (Kelantan)
Kota Kinabalu ( Sabah )
JADUAL
10 Jun (Rabu)
Pekan lwn Kelab PJ (9.30 pagi)
Kota Bharu lwn Kota Kinabalu (2 petang)
11 Jun (Khamis)
Victoria lwn Pekan (9.30 pagi)
Westlands lwn Kota Bharu (2 petang)
12 Jun (Jumaat)
Westlands lwn Kota Kinabalu (9.30 pagi)
Victoria lwn Kelab PJ (2 petang)
13 Jun (Sabtu)
Juara A lwn naib johan B (9.30 pagi)
Johan B lwn naib juara A (2 petang)
14 Jun (Ahad)
Babak akhir (10 pagi)
(Semua perlawanan di Bayuemas Oval)
AKSI menarik dalam babak akhir Kejohanan Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan musim 2008 antara Victoriah dengan Gemencheh di Bayuemas Oval, Klang.