Dua pusat bawah 12 di Kedah, Johor akan diwujudkan

RosmanizamKUALA LUMPUR - Jumlah pusat Program Pembangunan Kriket Remaja khusus bagi kumpulan bawah 12 tahun akan ditambah.

Mesyuarat penyelaras program berkenaan di Kuala Lumpur pada 11 Januari 2014 yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Rosmanizam Abdullah mengumumkan dua pusat yang dirancang adalah di Johor dan Kedah.

''Kami terpaksa mewujudkan pembangunan di Kedah untuk memulihkan minat ke arah permainan ini.

''Lebih 15 tahun lepas ramai pemain dilahirkan oleh Kedah. Kini tidak seperti dahulu lagi terutama sekali pencapaian pemain Kedah semasa Sukan Malaysia dan pertandingan peringkat usia kebangsaan jauh ketinggalan.''

Johor juga memerlukan sebuah pusat tambahan dan Kriket Melayu memilih untuk memulakan program di utara negeri ini. Buat masa ini pusat di Johor ialah Parit Jawa.

Mesyuarat penyelaras itu juga diberitahu bahawa Kriket Melayu telah merehatkan dua pusat bawah 12, Westlands di Pulau Pinang dan Kampung Gelam (Melaka) kerana kurang aktif.  

PUSAT BAWAH 12 KRIKET MELAYU: Ipoh, Batang Padang (Perak); Kuala Langat, Bayuemas Oval (Selangor); Kampung Gadong, Gemencheh (N. Sembilan); Parit Jawa (Johor); Kerambit, Pekan, Kuala Lipis (Pahang); Gua Musang, Machang, Kota Bharu, Kuala Krai (Kelantan); Kota KInabalu (Sabah); Kuching (Sarawak); Bukit Petaling (Kuala Lumpur).