ACU & S rancang lahir 100 pengadil muda bertauliah

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengadil dan Pencatat Kriket Malaysia (ACU & S) merancang menetapkan sasaran melahirkan lebih seratus pengadil muda dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Presidennya, Mejar Jeneral (B) Datuk Dr. Termidzi Junaidi mengumumkan demikian sewaktu melancar Kursus Pengadil Kriket Antarabangsa di sini pada 10 Disember 2013 di samping bertekad untuk turut sama menonjolkan ramai pengadil perempuan.

 

Kursus yang dikendalikan oleh Persatuan Pengadil Kriket Profesional Sri Lanka yang diketuai oleh presidennya, Asoka de Silva bermula 9 Disember dan berakhir hanya 18 Disember 2013 ini.

 

Turut sama mengendalikan kursus ialah pengadil antarabangsa Sri Lanka, Ranmore Martinesz serta seorang lagi pakar undang-undang kriket :Lyndon Hannibal.

 

Dalam kursus berkenaan, lebih tiga perempat merupakan peserta muda yang berusia kurang daripada 25 tahun.

 

Persatuan Kriket Melayu Malaysia turut sama bersepakat untuk menganjurkan kursus ini bagi melahirkan ramai pengadil tahap tinggi bagi menampung ketandusan pengadil bertauliah di Malaysia.

 
SEBAHAGIAN peserta, pegawai dan penceramah Kursus Pengadil Kriket kendalian Persatuan Pengadil dan Pencatat Kriket Malaysia selepas perasmian kursus itu di Majlis Sukan Negara semalam.