Pasukan bertenaga hadapi lima pertarungan ujian di Australia

KUALA LUMPUR - Kedudukan sama kuat dalam sesi pendedahan pasukan kriket bawah 18 Melayu Malaysia musim lepas di Perth, Australia memaksa pengurusan skuad berkenaan menyenaraikan pasukan yang lebih bertenaga untuk mengharungi ujian selama lima hari berturut-turut.

 

Pengurus pasukan yang juga bekas pembuka pukulan kebangsaan, Sham Jalil telah memastikan semua pemain berada pada kedudukan terbaik kecuali dua pelajar dalam Projek Kriket Nasional di Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free, Mahadi Muda dan Norhamizan Hamidon yang menduduki kertas akhir Sijil Pelajaran Malaysia lewat mendaftar semalam.

 

''Kami  tidak mahu kurangnya ketahanan pemain tahun lepas berjangkit lagi. Kali ini pemain sudah bersedia dan cergas untuk berhadapan dengan lima pertemuan 8 hingga 12 Disember 2013 di Perth,'' katanya yang berlepas bersama 15 anggota pasukan Melayu Malaysia ke Perth pada 6 Disember.

 

Lima pertemuan pilihan ialah menentang semua pasukan bawah 19 di bawah naungan Persatuan Kriket Australia Barat (WACA). 

 

Tahun lepas, skuad bawah 18 Melayu Malaysia menang dua, seri dua dan tumbang sekali. Lima pasukan sama yang akan ditentang ialah Bedford Morley, Bayswater Morley, UWA Academy, Kent Street Senior dan John Forrest.

 

''Ini semua pasukan projek di sana. Kami mahu menang semua walaupun berhadapan keadaan sekeliling termasuk cuaca yang berlainan.''

 

ROMBONGAN BAWAH 18 MELAYU MALAYSIA: 

 

Akmal Aizat Sham, Noor Afif Saufee, Fauzan Malik, Che Wan Razlan Zalati, Amiruddin Azahar, Norhamizan Hamidon, Faiz A. Nasir, Mahadi Muda, Mahathir Razali, Ibrahim Khalil Zakaria, Anwar A. Rahman, Wafiq Irfan Zarbani, Irfan Ruzdi, Nik Nazran S. Anuay.

 

Pengurus: Sham Jalil; pengadil: Hafiz Zaman Huri.

 

JADUAL:

 

8 Dis: Melayu Malaysia lwn Bedford Morley.

9 Dis: Melayu Malaysia lwn Bayswater Morley.

10 Dis: Melayu Malaysia lwn UWA Academy.

11 Dis: Melayu Malaysia lwn Kent Street Senior.

12 Dis: Melayu Malaysia lwn John Forrest

 

 

BARISAN pemain bawah 18 Melayu Malaysia yang akan beraksi dalam lima pertemuan ujian di Perth, Australia bermula 8 hingga 12 Disember 2013.