Badan pengadil kriket menuju kecemerlangan

pukulan sisiPERSATUAN Pengadil & Pencatat Kriket Malaysia (ACU & S) mengadakan mesyuarat majlisnya pada 13 Julai 2013. Ini merupakan mesyuarat kedua selepas anggota majlis baru dipilih awal tahun ini dengan setiausaha agungnya, Kol (B) Gerard D. Singam mengambil alih kedudukan berkenaan daripada Sri Murigak Madhavan.

 

Memang, Persatuan Kriket Melayu Malaysia mengusahakan pembentukan semula sebuah badan pengadil dan pencatat di Malaysia setelah persatuan terdahulu yang dikenali sebagai MACU tersungkur akibat dibatalkan pendaftaran. ACU & S diwujudkan pada tahun 2008 dengan Sri Murigak sebagai setiausaha agung. Sri Murigak ketika itu bertugas sebagai Setiausaha Kerja Kriket Melayu. Bekas guru, Sri Murigak pernah menjadi pengadil bola sepak kebangsaan yang kemudian menukar haluan menjadi pengadil kriket.

Lima tahun berlalu, presidennya masih Mejar Jeneral (B) Dr. Termidzi Junaidi tetapi Kol. Gerard dipanggil mengetuai pertubuhan ini untuk sama-sama memastikan hala tuju menjadi lebih teratur. 

Ternyata setelah mengharungi dua mesyuarat majlis, hala tuju menjadi semakin jelas untuk menuju ke arah kepemimpinan profesional. Pembentukan jawatankuasa kecil lebih mirip kepada keserasian bagi permudahkan pentadbiran. 

Dalam jawatankuasa induknya ia menggabung  tenaga kepengadilan/pencatat, perancang dan anggota profesional. 

Sama ada disokong oleh Kriket Melayu atau Persatuan Kriket Malaysia bukan menjadi soal, tetapi usaha jernih untuk melahirkan ramai pengadil muda, pencatat berwibawa dari Malaysia adalah suatu langkah yang dialu-alukan.

Empat pengadil kelas satu yang membarisi jawatankuasa induk ACU & S akan sama-sama memastikan arah tuju lebih terjamin sekali gus memastikan ramai lagi tenaga muda sebagai pengadil dan pencatat Malaysia disanjung di peringkat antarabangsa bukan sahaja di kalangan negara sekutu tetapi di peringkat negara test dalam ranking Majlis Kriket Antarabangsa atau ICC.