Pemain projek Kriket Melayu diberi amaran

KLANG – Semua pemain dalam Projek Kriket Nasional dan Pusat Prestasi Tinggi diberi peringatan agar tidak mengingkari arahan persatuan sewaktu mengharungi program di sekolah atau di pusat pengajian tinggi.

Berucap sewaktu merasmikan Persidangan Agung Tahunan Persatuan Kriket Melayu Malaysia di Bayuemas Oval, dekat sini pada 12 Mei 2013, presidennya Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pertubuhan itu tidak akan berkompromi dengan pemain yang tidak mengikuti sebarang arahan persatuan baik dalam penyertaan, kegiatan atau tingkah laku yang bermudarat.

‘’Kami memiliki perjanjian dengan pemain prestasi tinggi serta jalinan persefahaman dengan bapa atau ibu pemain peringkat menengah. Pegawai dan jurulatih selalu memantau semua pemain bagi peningkatan prestasi di samping tingkah laku masing-masing,’’ katanya.

Kriket Melayu buat masa ini berhadapan dengan beberapa masalah termasuk penyertaan pemain dalam sesi latihan dan kejohanan yang tidak mengikut penjadualan yang dirangka.

Ahmad Sarji berkata, program pembangunan persatuan itu adalah untuk memastikan prestasi pemain di tahap tinggi tetapi ia perlu menuruti garis panduan yang disediakan kerana Kriket Melayu berbelanja besar dengan .merangka program dari peringkat akar umbi, peringkat menengah, pusat prestasi tinggi dan kini ke penempatan antarabangsa di England dan Australia.

Bagi kami, ketegasan kepemimpinan mesti diutamakan di samping ketelusan dalam mentadbir persatuan,’’ katanya.

Kriket Melayu memiliki 19 pusat bawah 12 di seluruh negara di samping enam Projek Kriket Nasional-Pembangunan Menengah. Pusat prestasi tinggi di Universiti Kebangsaan Malaysia, Asia Pacific Unversity  dan Universiti Teknologi Mara. Dua pemain pula ditempatkan bermain dalam liga di London dan dua di Perth, Australia.