Sri Lanka kuasai pusingan awal

KUALA LUMPUR - Sri Lanka menamatkan pusingan awal Cabaran Kriket Bawah 15 Antarabangsa dengan kemenangan lima wiket ke atas Melayu Malaysia di Bayuemas Oval, Klang pada 10 April 2013.

Dengan memenangi semua perlawanan pusingan awal, Sri Lanka selaku juara bertahan menduduki tangga teratas dengan India di tempat kedua.

Dalam separuh akhir Jumaat, India bertemu Afrika Selatan di Kinrara Oval manakala Melayu Malaysia sekali lagi akan berhadapan Sri Lanka di Bayuemas Oval.

''Walaupun tuan rumah hanya mengumpulkan 90 larian tetapi serbuan pembaling telah meranapkan lima wiket skuad juara bertahan. Untuk pertemuan separuh akhir kelak, Melayu Malaysia akan terus menggunakan kelebihan balingan untuk menguasai sesi memadang kelak,'' kata pengurus Khailani A. Jalil.

Dalam pertemuan di Kinrara Oval, pendatang baru, India menewaskan Afrika Selatan dengan tujuh wiket.

Persatuan Kriket Melayu Malaysia menganjurkan kejohanan ini sejak tahun 2004 dengan skuad tuan rumah menjuara kejohanan pada tahun 2007.


KEPUTUSAN:

Sri Lanka kalahkan Melayu Malaysia dengan 5 wiket.
Melayu Malaysia 90 (29.4 over) Shaunvinder Singh 28, Fatah Ibrahim 12.  Tiron Siva Kumar 2-15, Nipun Lakshan 2-15, Mahinsajeewa Welikala 2-16, Sammu Ashan 2-21.
Sri Lanka 91-5 (27.1 over) Kamindu Dilanka kekal 40, Kaweesh Dilranga 14, Avishka Fernando 14.  Islah Muhaimin Zol 3-17.
Pemain terbaik: Kamindu Dilanka (Sri Lanka).
Pengadil: Asoka de Silva (Sri Lanka) & Hafiz Zaman Huri (Negeri Sembilan).

India kalahkan Afrika Selatan dengan 7 wiket.
Afrika Selatan 127
(37.5 over) Suhail White 28, Ubaid Hartley 18, Gavin Kaplan 14, Jesse Christensen 14.  Harshawardhan Patil 3-12, Bhavin Darji 2-19, Yash Bhojane 2-29.
India 128-3 (31.3 over) Shreeraj Gharat 36, Ashay Sardesai kekal 27, Neel Kadam 19, Hashir Dafedar kekal 18.  Suhail White 2-18.
Pemain terbaik: Shreeraj Gharat (India).
Pengadil: Mathan Kumar Muniandy (Selangor) & Bertle ‘Alex’ James (Negeri Sembilan).

JUMAAT -- SEPARUH AKHIR
Sri Lanka lwn Melayu Malaysia
(Bayuemas Oval, 9.30 pagi)
India lwn Afrika Selatan
(Kinrara Oval, 9.30 pagi)