Misi mencabar untuk pertahan dua gelaran

BARISAN senior dan bawah 15 Melayu Malaysia yang akan bertanding pada saingan Trofi Melayu Antarabangsa X di Cape Town bermula 19 hingga 28 Disember.KUALA LUMPUR - Saingan kriket Trofi Melayu Antarabangsa X bermula Rabu ini hingga 28 Disember di Cape Town, Afrika Selatan masih mengekalkan tiga pasukan dalam acara senior dan bawah15 walaupun ketiadaan skuad Melayu Sri Lanka.

Kemuncaknya ialah persaingan dalam acara senior yang dimulakan sejak tahun 1999 manakala bagi bawah 15, trofi yang dihadiahkan oleh perancang utama kejohanan ini, Datuk Ar. Mir Shahariman Shaharuddin dijadikan rebutan apabila kategori ini diperkenalkan pada 2002.

Dua tahun lalu, tiga pasukan; Melayu Malaysia, Melayu Afrika Selatan dan pasukan kebangsaan Singapura (atas undangan Persatuan Kriket Melayu Malaysia) menyertai pertandingan walaupun Melayu Sri Lanka dan Moors (juga dari Sri Lanka) tidak berupaya ke Kuala Lumpur kerana menghadapi pelbagai masalah dalaman.

Berpandukan ketekunan serta keberanian untuk menghadapi balingan pantas dari Afrika Selatan, Melayu Malaysia memenangi kedua-dua kategori di Bayuemas Oval, Klang pada tahun 2010.

Kali ini, hos pertandingan, Ottoman Cricket Club; sebuah kelab kriket tertua di Afrika Selatan akan besedia dengan dua pasukannya, Melayu Afrika Selatan dan Ottoman 130 untuk kedua-dua kategori. Ottoman 130 dibentuk sebagai tanda kelab berkenaan sudah berusia 130 tahun sejak penubuhannya pada 1872.

Pengerusi pertandingan di Cape Town, Rydwaun Salie; tokoh yang amat dihormati di bandar raya cantik berkenaan bukan sahaja berbangga sebagai hos tetapi pertandingan sebegini berupaya membentuk jalinan persaudaraan antara negara peserta.

''Di samping membantu Kriket Melayu merentasi pendedahan dalam permainan kriket, jalinan persaudaraan kami berkembang dengan baik dan berkesan. Inilah kebesaran pembabitan dalam sukan,'' katanya.

Rombongan Melayu Malaysia seramai 33 orang tahun ini diketuai oleh Naib Presiden Kriket Melayu, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Noordin dalam misi mempertahan kejuaraan dalam kedua-dua acara.

''Bukan mudah bertempur dengan tuan rumah. Lagi pun dalam acara senior, hampir semua pemain cukup berpengalaman dan beraksi dalam liga utama di Western Province dan ada pula yang bermain di England.

''Dalam acara bawah 15, peluang lebih terbuka dan Melayu Malaysia sudah merangkul lima kejuaraan dalam enam pertandingan,''  kata Wan Mohd. Zahid.

Barisan senior tahun ini dikepalai oleh kapten musim 2010, Faris Almas-Lee manakala skuad remaja oleh pelajar Penang Free School, Faiz Ahmad Nasir yang berasal dari Kelantan.

Berbanding saingan dua tahun lepas, barisan senior tidak banyak berubah tetapi pasti tertekan dengan penampilan pasukan tuan rumah yang lebih bersedia untuk bersaing di lima gelanggang tempatan,'' kata pengurus skuad senior, Nik Anuay Abdullah yang juga anggota majlis Kriket Melayu

Pengurus skuad bawah 15, Khailani A. Jalil pula berharap barisan bawah 15 yang dikumpulkan sejak akhir tahun lepas dapat mempertahankan kewibawaan terutama sekali pernah beraksi dengan pilihan bawah 15 Afrika Selatan dalam Cabaran Bawah15 Antarabangsa di Kuala Lumpur April tahun ini.


KONTINJEN MELAYU MALAYSIA:

Ketua rombongan: Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Noordin.
Pengurus senior: Nik Anuay Abdullah
Pengurus bawah 15: Khailani A. Jalil
Jurulatih senior: Sham Jalil
Jurulatih bawah 15: Chamath Perera
Pengadil: Faizshal Niay-Lyn

BARISAN SENIOR MELAYU MALAYSIA: Faris Almas-Lee, Rashid Ahad, Faiz M. Noor, Aliman Ahmad, Aminudin Ramly, Norwira Zazmie Halim, Shafiq Sharif, Suharril Fetri Shuib, Nik Azril Ariffin, Anwar A. Rahman, Faruq Hakimin Azmi, Haziq Zainuddin.

SKUAD BAWAH 15: Faiz Ahmad Nasir, Fatah Ibrahim, Nik Nazran Sufri Anuay, Akmal Aizat M. Sham, Harvindran Rajendran, Izzat Mustafa Albakri, JihadJailani, Faris Aizzat Shaari, Afnan Ghazali, Amdan Wiliyoh, Hadi Halem, Mahathir Razali.

BARISAN senior dan bawah 15 Melayu Malaysia yang akan bertanding pada saingan Trofi Melayu Antarabangsa X di Cape Town bermula 19 hingga 28 Disember.
BARISAN senior dan bawah 15 Melayu Malaysia yang akan bertanding pada saingan Trofi Melayu Antarabangsa X di Cape Town bermula 19 hingga 28 Disember.