Sri Lanka catat rekod gandingan wiket pertama

International Under 15 Cricket ChallengeOleh TL ANG
 
KLANG, 2 April - Sri Lanka meneruskan rentak cemerlang pada Cabaran Kriket Bawah 15 Antarabangsa dengan kemenangan 113 larian ke atas Singapura di Bayuemas Oval di sini hari ini.
 
Kehebatan Sri Lanka terserlah dengan penyempurnaan 247 larian untuk satu wiket dalam peruntukan 40 over dengan pemukulnya, Shasheen Fernando melakukan 104 larian. Seorang lagi pemukul Sri Lanka, Kausal Mendis mengumpulkan 89 larian tanpa tewas dan bergandingan dengan Fernando untuk mencatat rekod kejohanan hasil pakatan wiket pertama berjumlah 206 larian.
 
Singapura yang sekadar bermain untuk melengkapkan jadual juga memastikan mereka melakukan 134 larian dalam 38.5 over dengan kaptennya, Varun Sivaram mengetuk 62 larian.
 
''Kami datang untuk mempertahankan kejuaraan dan pengumpulan angka melebihi 200 larian merupakan bukti Sri Lanka akan lebih cemerlang pada final Ahad ini,'' kata pengurusnya, Mahinda Uduwerella.
 
Malaysia dan Sri Lanka akan menamatkan pusingan awal dalam perlawanan 'memanas badan' esok sebelum perlawanan akhir hujung minggu.
 
Pengurus Malaysia, Mat Rani Seman akan menurunkan semua pemain simpanan sebagai pendedahan antarabangsa di negara sendiri.
 
KEPUTUSAN:
 
Sri Lanka kalahkan Singapura dengan 113 larian.
Sri Lanka 247-1 (40 over) Shasheen Fernando 104, Kausal Mendis kekal 89, Ronaka Ahangamage kekal 18.
Singapura 134 (38.5 over) Varun Sivaram 62, Iishan Shekhar 18, Vikas Rajgopal 17. Thamalaka Athulathmudali 3-17, Yohan Rashmika 2-13.
Pemain terbaik: Shasheen Fernando (Sri Lanka)
Pengadil: Shafizan Shahriman, Poolabalan Loganathan (MAS)
Pencatat: Tomas Labe (MAS)
 
3 APRIL 2009:
 
SRI LANKA lwn MALAYSIA
(Bayuemas Oval, 10 pagi)