Melayu Malaysia mara ke babak akhir

KLANG - FMC Sports dari Bangladesh menamatkan saingan awal dalam Kejohanan Kriket Undangan Antara Kelab Antarabangsa apabila tumpas 33 larian kepada Melayu Malaysia dalam percaturan hebat di Bayuemas Oval dekat sini pada 18 Oktober 2012.
 
Dengan keputusan berkenaan, Melayu Malaysia layak ke babak akhir pertandingan merebut Piala Tun Ahmad Sarji untuk bertemu barisan bintang antarabangsa Sri Lanka, Chilaw Marians, Ahad ini.
 
Apapun kedua-dua pasukan itu akan bertemu dalam pertemuan terakhir pusingan awal hari ini dan apa jua keputusan tidak memberi kelebihan kepada FMC Sports.
 
''Cukup bagus, keyakinan pemain menyerlah untuk mengumpulkan 209 larian. Kami berbangga untuk ke babak akhir dan akan melakukan sesuatu yang terbaik,'' kata pengurus Melayu Malaysia, Alwi Zaman.
 
Setelah kehilangan dua wiket awal pada angka 28, Melayu Malaysia mengumpulkan 80 larian menerusi gandingan kapten pasukan, Faris Almas-Lee (45 larian) dan Shafiq Sharif (55) yang melonjakkan angka tuan rumah sehingga 108 sebelum jatuhan wiket seterusnya.
 
Menurut Alwi, semua pemain melakukan aksi terbaik sewaktu memadang bagi mengehadkan lawan setakat 176 dalam 46.3 over.
 
Pertandingan anjuran Persatuan Kriket Melayu Malaysia itu menyediakan hadiah wang besar dengan penyertaan pemain kelas antarabangsa.

 
KEPUTUSAN:

Melayu Malaysia kalahkan FMC Sports dengan 33 larian.
Melayu Malaysia 209 (50 over) Shafiq Sharif 55, Faris Almas-Lee 45, Faiz M. Noor 40, Suharril Fetri Shuib 17, Nik Azril Ariffin 13.  Manirul Hoque 4-36, Rony Chowdhury 3-30.
FMC Sports 176 (46.3 over) Iqbal Bahar 84, Manirul Hoque 24, Lipon Kumar Chowdhury 14, Maruful Islam Maruf 13, Tanvir Hossain 12.  Haziq Zainuddin 2-30, Aminudin Ramly 2-32, Nik Azril Ariffin 2-41.  
Pemain terbaik: Shafiq Sharif (Melayu Malaysia).  
Pengadil: Asoka de Silva (Sri Lanka), Kithsiri Jayaweera (Sri Lanka).

JADUAL 19 OKTOBER:
Chilaw Marians (Sri Lanka) lwn Melayu Malaysia
(Bayuemas Oval, 10 pagi)